PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju yang didakwa masih belum sepenuhnya menghayati konsep Madani dalam merancang pembangunan perumahan rakyat di ibu negara.
Teguran itu disuarakan beliau ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Residensi Aman Madani di Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar menegaskan, pembangunan berskala besar yang melibatkan ribuan unit kediaman tidak boleh hanya mementingkan aspek pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya wajib mengutamakan penyediaan prasarana asas untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya tegaskan bahawa projek berskala besar seperti ini, dengan ribuan unit kediaman, wajib mengambil kira penyediaan prasarana asas seperti sekolah, tadika dan kemudahan kesihatan.
“Keperluan asas penduduk bukan sekadar tambahan, tetapi mesti menjadi syarat utama sebelum sesuatu pembangunan diluluskan,” katanya.
Menurut beliau, pegawai perancang, pemaju dan pentadbir bandar perlu memahami bahawa konsep Madani bukan hanya slogan, tetapi merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar kepada rakyat.
“ Saya tidak mahu komisen, tidak mahu proses yang meleret. Apa yang saya tuntut ialah pelaksanaan projek secara bersih, telus dan cekap dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Anwar turut melahirkan rasa kecewa apabila masih terdapat ibu bapa berpendapatan rendah yang terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah dan tadika yang jauh dari tempat tinggal kerana tiada kemudahan pendidikan disediakan berdekatan projek perumahan.
“Kita sering berbicara tentang memahami keluh kesah rakyat. Namun hakikatnya, masih ada ibu bapa yang menanggung kos pengangkutan yang tinggi hanya untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan,” katanya.
Jelas beliau, perancangan bandar berteraskan Madani mesti merangkumi usaha mengurangkan beban sara hidup rakyat dengan memastikan penyediaan prasarana asas disepadukan sejak peringkat awal pelan pembangunan.
“Sekiranya sekolah atau tadika ditempatkan dalam bangunan yang sama, bukankah itu lebih berperikemanusiaan? Kos juga lebih rendah jika dimasukkan dalam perancangan awal.
DBKL, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh sekadar membina menara tinggi dan restoran mewah, tetapi mesti memastikan penyediaan ruang penjaja, taman permainan, laluan selamat dan kawasan hijau untuk rakyat terbanyak,” ujar beliau.
Tambah Perdana Menteri, inilah maksud sebenar pembangunan Madani yang menyantuni golongan tersisih, mengurangkan tekanan hidup dan mengangkat martabat rakyat dengan pendekatan perancangan yang teliti dan berjiwa rakyat.
Majlis pecah tanah tersebut turut dihadiri isteri beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif. – Edisi 9

