Wednesday, July 22, 2026

Pelan Tempatan KL 2040 julang prinsip keadilan bandar – Anwar

Pelan yang tertangguh sekian lama akibat pandemik diluncurkan selepas Kerajaan Madani mengambil inisiatif untuk menyemak dan merombak semula perancangan bandar...

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan pelancaran Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) sebagai detik bersejarah bagi masa depan ibu negara yang lebih mampan dan inklusif.

Beliau berkata, pelan yang tertangguh sekian lama akibat pandemik COVID-19 itu akhirnya diluncurkan selepas Kerajaan MADANI mengambil inisiatif untuk menyemak dan merombak semula perancangan bandar secara menyeluruh, agar lebih berpaksikan prinsip keadilan sosial dan pembangunan berteraskan insan.

“Kita tidak mahu pembangunan hanya memihak kepada kelompok yang telah selesa sahaja. Kita mahukan pembangunan yang ada roh, nilai dan kemanusiaan,” tegas beliau dalam ucapan pelancaran PTKL2040 di ibu negara hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pelan yang digubal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut menitikberatkan unsur-unsur moden seperti digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan kemunculan idea-idea baharu dalam ekosistem bandar global.

Namun, tambah beliau, perkara utama ialah memastikan keperluan rakyat terbanyak turut diangkat, khususnya perumahan mampu milik, ruang niaga kecil dan penyediaan taman serta padang sebagai keperluan asas warga kota.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi sewaktu tinggal di Segambut Dalam, menyifatkan pembangunan di kawasan itu suatu ketika dahulu berjalan tanpa perancangan asas yang baik.

Anwar Ibrahim bersama Wan Azizah Ismail dan Zaliha Mustafa menunjukkan buku laporan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2040.

“Saya masih ingat, tiada taman, tiada padang. Saya bingung bagaimana kelulusan pembangunan dilakukan tanpa mengambil kira keselesaan penduduk. Itulah maksud saya mengenai kepentingan governance, tatakelola yang baik,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pelan ini bukanlah tentang membina kota baharu seperti Putrajaya, tetapi bagaimana menyesuaikan struktur lama dengan keperluan moden, tanpa mengabaikan unsur keadilan sosial.

“Jangan kita hanya fikir soal gedung gah dan raksasa, tetapi akhirnya gersang seni, budaya dan nilai,” katanya sambil memetik ungkapan penulis tersohor, Mark Twain mengenai pembangunan yang ‘culturally barren’.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak baik golongan elit, pemaju, warga kota dan pengusaha, untuk bersama-sama menjayakan aspirasi membina Kuala Lumpur sebagai kota yang adil, sejahtera dan milik semua.

“Kuala Lumpur bukan milik mana-mana kelompok. Ia adalah rumah untuk semua,” tegas beliau.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan