Thursday, June 4, 2026

Perbaharui hubungan bersejarah, menetap hala tuju baharu

Lawatan lima hari Anwar ke United Kingdom

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi selama lima hari beliau ke United Kingdom (UK) atas jemputan rakan sejawatannya, Sir Keir Starmer.

Lawatan tersebut menjadi titik penting dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sekaligus membuktikan Malaysia bukan lagi negara kecil yang sedang membangun tapi seiring dan hampir menyamai pencapaian negara maju di dunia.

Malaysia tidak pernah ketinggalan dalam meneroka teknologi baharu, malah segala yang boleh memberi kebaikan untuk pembangunan negara diberi perhatian utama oleh Perdana Menteri kita.

Tidak dapat dinafikan, asas utama di tengah-tengah perubahan geopolitik global dan cabaran ekonomi, menjadi pembuka pelbagai perjanjian, komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik, sekaligus meneroka peluang baharu.

Ia bukan sahaja memperbaharui hubungan bersejarah, tetapi juga menetapkan hala tuju baharu yang sejajar dengan keperluan moden.

Anwar Ibrahim ketika pertemuan bersama Speaker House of Commons, Sir Lindsay Hoyle di Bangunan Parlimen London. – Foto PMO

Bagi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Professor Dr. Mohd Faiz Abdullah, ini menunjukkan usaha memperluas kerjasama ekonomi dalam sektor pembuatan canggih, tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi digital.

Ujarnya, penyelarasan antara Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan Invest 2035 UK membuka peluang besar untuk pelaburan dan inovasi bersama termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Pejabat AI Kebangsaan Malaysia dan Pelan Tindakan Peluang AI UK menawarkan platform untuk pembangunan teknologi yang beretika dan berinovasi, memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara dalam persaingan global,” katanya.

Tidak itu sahaja, Mohd Faiz berkata, UK melalui polisi Indo-Pacific Tilt dan penyertaannya dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP) menunjukkan komitmen mendalam terhadap Asia-Pasifik.

Katanya, Malaysia, sebagai rakan penting ASEAN berada di kedudukan strategik untuk memperkukuh hubungan tersebut.

“Namun, perbezaan dalam keutamaan keselamatan dan hubungan rapat UK dengan Amerika Syarikat memerlukan pendekatan berhati-hati agar tidak menjejaskan kestabilan rantau,” katanya.

Bagi Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN-CIMB, Tan Sri Dr. Munir Majid, hubungan kedua-dua negara tidak lagi hanya bergantung kepada sejarah, tetapi kini berorientasikan matlamat masa depan yang lebih bermakna.

“Lawatan ini menandakan usaha Malaysia untuk mendefinisikan semula perkongsian dengan UK, menjadikannya relevan dalam konteks global yang berubah-ubah,” kata beliau.

Kenyataan itu disokong Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar bahawa kerjasama itu menyediakan asas kukuh untuk membina daya tahan ekonomi, inovasi teknologi, dan peluang pelaburan strategik yang dapat menguntungkan kedua-dua negara.

Bidang kecerdasan buatan (AI) juga menjadi fokus utama. UK, melalui Pelan Tindakan Peluang AI, dan Malaysia, melalui Pejabat AI Kebangsaan, berkongsi komitmen untuk pembangunan AI yang beretika dan inovatif.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Eleanor Wright dari UK AI Alliance: “Kerjasama dalam AI membuka peluang besar bagi kedua-dua negara untuk memanfaatkan teknologi ini sambil menguruskan risikonya dengan berkesan.”

Malah katanya, usaha bersama ini tidak hanya memberi kesan kepada sektor teknologi tetapi juga mengukuhkan kedudukan kedua-dua negara dalam persaingan global.

Namun, cabaran geopolitik tidak dapat diabaikan. Walaupun kedua-dua negara berkongsi kerjasama pertahanan di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA), perbezaan dalam strategi keselamatan tetap wujud.

Hubungan erat UK dengan AS kadangkala menimbulkan persoalan mengenai kebolehannya untuk bertindak secara bebas di Asia-Pasifik.

Lawatan ini bukan sekadar acara simbolik tetapi memerlukan susulan dan komitmen berterusan untuk menterjemahkan visi kepada tindakan.

Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di East London Mosque di London. – Foto: PMO

Dengan memanfaatkan kekuatan bersama, Malaysia dan UK mampu mencipta hubungan yang kukuh, relevan, dan memberi impak besar kepada kedua-dua negara serta rantau ini.

Kesimpulannya, lawatan Anwar ke UK kali ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kedua-dua negara tetapi juga menetapkan asas bagi kerjasama strategik masa depan.

Dalam dunia yang semakin kompleks, kedua-dua negara perlu terus bekerjasama secara inovatif untuk menghadapi cabaran global dan merebut peluang yang ada.

Sepertimana ditegaskan Perdana Menteri, melalui kepimpinan yang berwawasan, Malaysia dan UK berada pada landasan yang betul untuk mencorak masa depan bersama yang lebih cerah.

“Apapun kejayaan ini hanya boleh terlaksana sekiranya rakyat Malaysia menghormati dan menjuarai nilai manusiawi dalam membentuk Malaysia ke sebuah negara yang lebih bertamadun dan berjaya di masa hadapan.” – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan