28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Pelaburan RM10.5 bilion bukti Microsoft yakin ekonomi negara

Mesti Baca

PELABURAN sebanyak RM10.5 bilion oleh syarikat gergasi Microsoft membuktikan keyakinan para pelabur asing terhadap asas ekonomi negara yang kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik juga menambah keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti kecerdasan buatan (AI) dalam negara,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella di Putrajaya hari ini.
Mereka kemudian bersama-sama menghadiri Forum Kepimpinan AI Kebangsaan.

Dalam pertemuan itu, Nadella mengumumkan persetujuan mereka untuk menambah pelaburan berjumlah USD2.2 bilion atau RM10.5 bilion dalam tempoh empat tahun mendatang.

Satya Nadella dan Anwar Ibrahim turut menghadiri Forum Kepimpinan AI Kebangsaan di Putrajaya.

Anwar berkata, jumlah tersebut adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft sejak bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Advertisements

Beliau berkata, pelaburan tersebut meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan AI serta mewujudkan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.

Selain itu, Microsoft juga akan menubuhkan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangunan sistem di negara ini.

Pada 2021 lalu, Microsoft turut mengumumkan pembinaan pusat data syarikat itu, iaitu yang pertama di negara ini.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan RM4 bilion oleh Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia itu akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan.

“Pelaburan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang merupakan satu komitmen Microsoft untuk membangunkan landskap ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital,” kata Muhyiddin seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan