27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tidak tahan dimarah, buruh warga Indonesia bunuh majikan

Mesti Baca

GARA-GARA tidak tahan dimarah, seorang buruh warga Indonesia bertindak memukul majikannya dengan tukul hingga mati dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, minggu lalu.

Mangsa, Ong Kok Kim, 71, yang juga seorang mualaf dipercayai dibunuh kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 22 Disember sebelum mayatnya ditemukan disorok di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Paya Rumput Jaya, Melaka, pada 27 Disember lalu oleh anggota Task Force Balai Polis Melaka Tengah susulan laporan dibuat anak mangsa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata anak lelaki mangsa berusia 39 tahun membuat laporan jam 2.48 petang pada 26 Disember selepas gagal menghubungi bapanya sejak 22 Disember lalu dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota ke lokasi kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari sebelum menemukan mayat mangsa dalam keadaan terlentang dengan berpakaian lengkap baju T dan berseluar jeans di bilik pertama pondok itu.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan darah pada bahagian belakang kepala mangsa dan lantai.

“Terdapat juga dua kesan tikaman di belakang kepala mangsa berukuran kira-kira 3.81 sentimeter. Kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik anak mangsa didapati hilang, termasuk barangan seperti beg silang, telefon bimbit dan kad Touch ‘n Go,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Advertisements

Christopher berkata, hasil siasatan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menyerbu sebuah rumah di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor dan menahan suspek kira-kira jam 4 petang pada 30 Disember lalu.

“Hasil soal siasat, suspek berusia 25 tahun mengaku berada di kebun itu pada 22 Disember lalu dan dia dimarahi oleh mangsa dengan kasar kerana belum menyelesaikan kerja yang diarahkan sehingga suspek hilang sabar lalu memukulnya di belakang kepala.

“Suspek menarik mangsa ke dalam bilik sebelum mengambil barangan peribadi dan mengunci pintu.

Dia memandu kenderaan dan menjual telefon bimbit mangsa di Bukit Rambai sebelum melarikan diri ke Negeri Sembilan dan kemudiannya ke Klang, Selangor untuk bersembunyi di rumah rakannya.

“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dompet mangsa daripada suspek yang mengandungi kad bank, telefon bimbit, tukul besi dan kunci Ford Ranger,” katanya.

Christopher berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan