27.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Usahawan dari UK rugi RM60 juta ditipu lelaki bergelar Datuk

Mesti Baca

SEORANG usahawan dari United Kingdom (UK) kerugian RM60 juta apabila ditipu lelaki bergelar Datuk yang menawarkan pelaburan lumayan kepadanya.

Malah Datuk berkenaan turut didakwa menipu ratusan pelabur lain sehingga meraih RM1 bilion hasil kegiatan penipuan pelaburan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.

Lee Rodger Meiklejohn, 50, berkata, dia menjadi mangsa kepada Datuk terbabit selepas diperkenalkan oleh seorang broker.

“Saya ditipu 10 juta pound sterling (hampir RM60 juta) dengan ditawarkan untuk melabur dalam sebuah syarikat yang menjanjikan pelbagai tawaran dan pulangan lumayan.

“Saya tertarik menyertai pelaburan itu adalah kerana lelaki ini menggunakan nama-nama individu yang berpengaruh dan ini lebih meyakinkan saya.

“Selepas proses perjanjian selesai, saya diminta lelaki itu untuk memasukkan wang ke dalam syarikat pinjaman wang kewangan miliknya dengan alasan prosedur berkenaan sudah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Lee Rodger berkata, dia mula menyedari ditipu selepas lelaki terbabit mendakwa sudah menukar pelaburan itu kepada pemilikan saham syarikat berkenaan pada 2017.

“Selepas beberapa tahun, saya mendapati tidak memiliki saham seperti yang didakwa oleh Datuk terbabit menyebabkan saya membuat laporan polis berhubung penipuan ini pada 2019.

“Namun begitu, saya dimaklumkan oleh polis bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan dinasihatkan untuk mengambil tindakan sivil,” katanya.

Katanya, dia turut membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya, semalam bagi meminta pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Sebelum ini, kes diklasifikasikan sebagai NFA dan saya tidak meneruskan tindakan sivil kerana berdepan banyak kekangan termasuk penularan Covid-19 ketika itu.

“Tetapi kali ini saya yakin kes ini dapat diselesaikan mengikut undang-undang atas kesalahan jenayah yang dilakukan,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, berkata, dia mengenali lelaki berkenaan sejak 2007 sebelum berminat untuk melabur dalam syarikat pinjaman wang serta koperasi yang dijalankan individu terbabit.

“Saya bukan saja melabur wang saya ke dalam syarikat itu, malah turut membawa masuk ramai pelabur yang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan dengan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM5 juta.

“Lelaki itu kemudian menjadikan saya sebagai rakan kongsi perniagaan syarikat pinjaman wang berlesen berkenaan meskipun saya tidak terbabit dalam operasi harian perniagaan itu,” katanya pada sidang media yang diadakan, hari ini.

Shah berkata, selepas beberapa tahun, dia mula curiga dengan lelaki terbabit kerana ramai pelabur mula merasa tertipu dengannya apabila pulangan keuntungan dijanjikan tidak ditunaikan.

“Dalam kes saya, dia berjanji untuk memberikan keuntungan antara lima ke enam peratus, namun pulangan tidak diberi seperti yang dijanjikan.

“Berikutan itu, saya bertegas untuk mendapatkan semula wang saya dan pelabur yang saya bawa masuk.

“Namun saya dianiaya dengan pelbagai tindakan dilakukannya menjadikan beban hutang bertambah hingga menyebabkan saya muflis.

“Malah, saya difahamkan lelaki ini menjalankan rantaian sindiket penipuan pelaburan dengan berselindung di sebalik rakannya yang bergelar Tan Sri dan didakwa mempunyai pengaruh kuat dengan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, hasil maklumat yang diperolehi, terdapat ratusan pelabur terdiri daripada kakitangan kerajaan, golongan profesional dan pelabur antarabangsa menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.

“Saya tahu ada di antara mangsa penipuan Datuk ini takut untuk tampil kerana diugut dan diberikan janji-janji manis meskipun sudah mengalami kerugian berjuta ringgit.

“Justeru itu, saya mohon supaya mangsa penipuan Datuk ini tampil sama ada membuat laporan polis atau menghubungi saya di talian 014-2214433.

“Ia bagi membolehkan kita bersama-sama memperjuangkan hak serta mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan