JOHOR Darul Ta’zim (JDT) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi dengan kelebihan seorang pemain di separuh masa kedua apabila tewas 3-1 kepada pendahulu K1 League, Ulsan Hyundai dalam aksi Liga Juara Juara Asia (ACL) sebentar tadi.
Namun, juara Liga Super itu sukar bangkit selepas ketinggalan tiga gol dalam tempoh 18 minit sebelum tuan rumah kehilangan seorang pemain dalam 10 minit terakhir separuh masa pertama.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Monsu, Ulsan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila pertahanan kebangsaan Korea Selatan, Jeong Seung-Hyeon yang tidak dikawal mudah menanduk masuk gol pertama.
Pemain sayap Sweden, Gustav Ludwigson menggandakan jaringan buat tuan rumah apabila melepaskan satu sepakan voli dari dalam kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Kelab gergasi Korea Selatan itu tambah selesa apabila Ludwigson menambah gol kedua peribadi menerusi larian mengelirukan dari sayap kiri sebelum masuk ke kawasan penalti dan melepaskan rembatan untuk gol ketiga Ulsan.
Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan, Kim Taewan dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Corbin Ong pada minit ke-35.
JDT berjaya merapatkan jurang pada minit ke-53 apabila Bergson da Silva melepaskan satu rembatan cantik dari bahagian kiri menerjah gawang Ulsan yang dikawal, Jo Hyeon-woo.
Anak buah Esteban Solari terus menggandakan serangan selepas itu namun gagal melepasi kekebalan benteng Ulsan menghampakan JDT sekali gus mencatat kekalahan kedua musim ini. – Edisi 9