32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Import telur ayam tak guna dana awam – MAFS

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Malaysia tidak memberikan subsidi kepada telur ayam import sepertimana yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

Menurut kenyataan itu lagi, kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil.

“Pada 6 Disember tahun lalu, Datuk Seri Mohamad Sabu (Menteri MAFS) telah mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak bulan Oktober tahun lalu.

“Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 telah diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn. Bhd. dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan memberi kontrak import telur dari India secara rundingan terus kepada sebuah syarikat milik peniaga permaidani.

Dakwanya, pemberian kontrak secara terus itu ternyata bercanggah dengan janji Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MAFS menyatakan kerajaan akan sentiasa memastikan langkah-langkah proaktif untuk memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin.

“Bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih dan bebas daripada segala penyakit, MAQIS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara ini secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

Advertisements

“Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, menerusi data oleh DVS, ia menunjukkan pada Oktober tahun lalu, negara ini berdepan kekurangan telur ayam sebanyak 118,272,070 biji, diikuti November (157,543,291) serta Disember (1,282,094).

Namun pada Januari tahun ini, terdapat pertambahan telur ayam sebanyak 160,649,928 biji.

Dalam pada itu MAFS memaklumkan telah menetapkan protokol import untuk memastikan setiap haiwan dan produk haiwan yang ingin dibawa masuk ke negara ini mestilah bebas daripada sebarang penyakit yang boleh memudaratkan tumbuhan, haiwan dan juga rakyat Malaysia.

Justeru itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada DVS untuk memastikan negara sumber tersebut tersenarai dalam negara yang diluluskan.

“Bagi negara yang belum diluluskan, Analisa Risiko Import perlu dijalankan terlebih dahulu. Setelah melepasi analisa tersebut dan diluluskan di peringkat Kementerian, baharulah produk tersebut dibenarkan untuk diimport.

Sehubungan itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport boleh membuat permohonan melalui website Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di https://www.maqis.gov.my/index.php/permohonan-permit/

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan