28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Fitnah: Timbalan Menteri lapor polis terhadap Rafizi

Fitnah berhubung artikel dalam Facebook yang dimuatnaik pada 6 Oktober 2022 bertajuk ‘’Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri yang mengaitkan nama Timbalan Menteri tersebut.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli kerana memfitnah beliau menerusi satu hantaran dalam media sosial baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Kanan beliau, Mohammad Iskandar Idris di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ikmal Hisham mendakwa Rafizi telah memfitnah beliau menerusi satu artikel bertajuk “Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri” yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya pada 6 Oktober lalu.

Menerusi artikel tersebut, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan telah mengaitkan nama Timbalan Menteri itu dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn Bhd.

Beliau berkaya, kenyataan Rafizi itu merupakan satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik beliau lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

“Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri.

“Iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.

“Oleh itu apa yang dinyatakan oleh Rafizi dalam artikel itu juga adalah tohmahan yang bertujuan merosakkan nama baik saya dan menyemarakkan kebencian orang awam terhadap saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmal Hisham berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa ahli politik itu melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – Edisi 9


Terkini

Zahid umum bantuan khas Aidilfitri kepada peneroka Felda

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan