24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Nurbalqis penterjemah Melayu-Turki pertama dapat pengiktirafan

Anak jati Rawang, Selangor itu juga mampu menterjemah bahasa-bahasa Inggeris, Indonesia dan Arab ke dalam bahasa Turki serta sebaliknya

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pelajar Malaysia di Turkiye, Nurbalqis Abdul Rashid telah mendapat pengiktirafan sebagai penterjemah bahasa Melayu-Turki pertama oleh kerajaan negara itu, baru-baru ini.

Nurbalqis, 23, yang berasal dari Rawang, Selangor merupakan pelajar tahun kedua jurusan pentafsiran dan penterjemahan Turki-Arab di Selçuk Üniversitesi.

Menurut Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT), gadis tersebut bukan sahaja boleh menterjemahkan bahasa Melayu ke dalam bahasa Turki tetapi juga bahasa Inggeris, Indonesia dan Arab serta sebaliknya.

“Di tengah-tengah perjuangan rakyat Malaysia yang terkenal mempelajari bahasa Turki, beliau berjaya membuktikan bahawa dia bukan sahaja boleh melakukannya tetapi menjadi seorang profesional adalah tidak mustahil,” kata MASAT dalam Facebooknya hari ini.

Persatuan itu berkata, kejayaan Nurbalqis untuk mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Turkiye itu bukan mudah sebaliknya dia terpaksa melalui wawancara intensif selama dua jam.

“Kami pasti mencabar, kejayaan ini pasti merupakan bukti dedikasi Nurbalqis dalam menguasai bahasa Turki.

“Semoga kejayaan ini menjadi sumber motivasi dan bukti nyata kepada kita semua. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Nurbalqis,”kata MASAT.

Advertisements

Sementara itu, kepada Bernama Nurbalqis berkata, minatnya dalam bidang bahasa tercetus sejak di tadika selain sokongan daripada ahli keluarga untuk mendalami bidang itu.

Selepas menamatkan pendidikan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, beliau melanjutkan pengajian selama dua tahun di Sudan bagi mempelajari bahasa Arab dan seterusnya ke Turkiye.

“Saya juga pernah mengajar bahasa Turki di bawah Perpustakaan Awam Selangor, menterjemah buku dari bahasa Turki ke bahasa Melayu dan bekerja separuh masa di Turkiye dengan tujuan untuk menambah baik bahasa Turki saya,” katanya.

Mengakhiri temu bual, beliau berharap lebih banyak karya antarabangsa dapat diterjemahkan kepada bahasa ibunda pada masa akan datang.

“…menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengangkat bahasa kebangsaan yang kita cintai ini,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan