24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

BN ada strategi tarik sokongan pengundi muda

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) tidak bimbang dengan pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun yang kali pertama mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan kerana parti itu mempunyai strateginya sendiri untuk menarik sokongan golongan terbabit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana terdapat kira-kira 150,000 pengundi golongan muda di seluruh negeri Johor dan mereka pula dibahagikan kepada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, daripada jumlah itu mereka dibahagikan pula kepada pusat-pusat daerah mengundi (PDM) dengan setiap DUN mempunyai jumlah PDM masing-masing.

“Kita ada kawasan tumpuan iaitu kawasan yang kita nak pertahankan kemenangan dan yang nak rampas kemenangan. Dari situ kita boleh atur gerak kerja untuk tarik pengundi muda ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mahdzir turut menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO tidak begitu agresif menarik sokongan Undi 18 sebaliknya berkata, parti itu sudah melakukan tetapi tidaklah sampai menubuhkan sebuah cabang parti lain khas untuk golongan berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya peluang BN dalam PRN Johor pada 12 Mac ini, Mahdzir berkata, beliau yakin parti itu ada peluang yang baik untuk memenangi dan membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, rakyat negeri Johor mengharapkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga pihak-pihak berkuasa tempatan baik majlis daerah, majlis perbandaran dan bandar raya.

“Tak adalah kau sikit aku sikit, tak jujus, pengkhianat, tak bagi ugut nak keluar (tarik sokongan), esok cakap lagi… cerita ini tak habis. Rakyat akan resah, rakyat nak satu keadaan yang stabil.

Advertisements

“Majlis daerah, majlis perbandaran, bandar raya inipun nak stabil kerana kebenaran merancang datang dari situ. Tetapi (apabila) kerajaan tak stabil, ahli-ahli majlis dilantik daripada kalangan parti-parti yang menang.

“Bila dah bergaduh lepas itu tak buat mesyuarat, tunggu bukan ini, tunggu bulan depan, semua tak tenang. Itu baru di peringkat majlis, kemudian kerajaan negeri dengan ahli mesyuarat kerajaan atau exco, jadi susah dan pembangkunan terbantut,” katanya.

Mahdzir berkata, pada masa kini rakyat melihat BN sebagai organisasi yang boleh diharapkan untuk membantu mereka dan memahami kehendak mereka.

“Rakyat mahukan kestabilan, rakyat mahukan ekonomi yang baik dan kefahaman yang sihat (tentang keperluan rakyat). Mereka melihat BN adalah organisasi yang memahami kemahuan rakyat,” katanya.

Selain kekuatan BN sendiri, jelas beliau, keadaan parti-parti lawan seperti DAP dan PKR yang bergolak juga dijangka dapat membantu memberi kemenangan kepadan BN,

“Kita tahu dalam DAP mereka bergaduh, dalam PKR pun. Malah antara PKR dan DAP pun tidak serasi. Mereka sudah umum beberapa calon tetapi berlaku pertindihan. Belum lagi dengan kemasukan MUDA.

“Begitu juga dengan Bersatu yang sebelum ini bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) kini atas nama Perikatan Nasional (PN) bersama Pas. Kami tahu sejauh mana kekuatan mereka,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac ini dengan proses penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari sementara pengundian awal pada 8 Mac. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan