25.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Sindiket palsu PLKS kaut puluhan ribu ringgit tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SINDIKET pemalsuan Pas Lawatan Kerja sementara (PLKS) dan khidmat pendaftaran Program Rekalibasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 kepada warga asing berjaya ditumpaskan selepas Jabatan Imigresen Malaysia Johor menyerbu sebuah premis di Gelang Patah pada 5 Oktober lalu.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan sepasukan pegawainya itu dilakukan pada jam 4.50 petang selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan Unit Tindakan dan Operasi Imigresen.

“Modus operandi adalah menerusi seorang warga Bangladesh dipercayai telah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan, tiket penerbangan, E-visa dan khidmat pendaftaran Program Rekalibasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 serta PLKS sejak setahun lalu dengan mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak imigresen merampas empat naskhah pasport India; satu unit komputer; satu unit mesin pencetak; enam telefon bimbit; satu set salinan dokumen perjalanan dan permit yang disyaki palsu serta wang tunai RM320,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi Ops Serkap itu, pihaknya berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh; seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki warga Bangladesh berstatus penduduk tempatan tetap.

Katanya, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Advertisements

“Sementara seorang warga Bangladesh berstatus Penduduk Tetap ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ( Akta 155 ) kerana melindungi warga asing,”katanya.

Pada masa sama, Baharuddin turut menggesa orang awam agar menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan warga asing kepada pihak berkuasa.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi atas apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan sentiasa memastikan usaha-usaha membanteras sindiket berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.

“Kita memandang serius kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan mengeluarkan serta membekalkan dokumen palsu yang boleh mencemar nama baik dan imej Jabatan Imigresen Malaysia,”ujar beliau.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau bersubahat melindungi PATI. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan