32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

Mesti Baca

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down, Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan bersalah ke atasnya atas dua pertuduhan itu.

“Isu-isu yang ditimbulkan perayu dan pembelaan perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah ini mendapati bahawa tiada sebab yang mewajarkan untuk mengusik dapatan-dapatan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu adalah selamat dan dikekalkan.

“Oleh yang demikian, rayuan perayu adalah ditolak,” kata hakim itu seperti dilapor UtusanTV.

Noorin dalam penghakimannya berkata bahawa mahkamah mendapati Siti Bainun tidak terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk membela diri.

“Keseluruhan prosiding iatu melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan dan pemeriksaan-pemeriksaan balas yang panjang terhadap saksi pendakwaan menzahirkan bahawa perayu tahu, tidak terkeliru dan faham bahawa pertuduhan- pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang telah dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap mangsa,” katanya.

Advertisements

Selain itu menurut beliau, mahkamah turut mendapati bahawa tidak berlaku prejudis terhadap Siti Bainun samada sebelum perbicaraan bermula dan selepas Hakim Mahkamah Sesyen meminda pertuduhan kedua terhadap perayu di akhir kes pendakwaan.

Katanya lagi, tidak terdapat kekhilafan di pihak Hakim Mahkamah Sesyen di dalam dapatannya bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kes mereka.

“18 kecederaan dan parut di badan mangsa telah dibuktikan oleh kesemua saksi-saksi pegawai perubatan bahawa kecederaan-kecederaan tersebut adalah disyaki kecederaan bukan kemalangan (non accidental injuries) dan bukan kecederaan dilakukan secara kendiri (self inflicted injuries).

“Mahkamah ini mendapati penilaian secara maksimum telah dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terhadap keterangan saksi mata, SP5 yang mana keterangannya disokong oleh semua saksi perubatan yang merupakan saksi pakar yang telah memeriksa mangsa.

“Mahkamah ini mendapati bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan-keterangan yang dikemukakan menjuruskan kepada perayu dan perayu sahajalah orang yang tekah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi mangsa,” katanya lagi.

Sebelum ini pada 3 Mei tahun lalu, media melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mendapati Siti Bainun bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun ketika kejadian.

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan