27.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 14, 2024

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci.

Baginda juga mengingatkan bakal jemaah haji agar menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia dengan tidak terlibat dengan sebarang bantahan atau demonstrasi ketika di sana.

“Patik dimaklumkan bahawa setakat ini, jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor, adalah antara jemaah yang berdisiplin serta patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Justeru, patik mahu semua jemaah menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi,” titah baginda hari ini.

Sultan Selangor bertitah demikian semasa menyempurnakan majlis penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah Peringkat Negeri Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Advertisements
Tengku Permaisuri Norashikin yang mengiringi Sultan Selangor merasmikan penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Baginda turut menasihatkan bakal jemaah haji untuk mempersiapkan diri sebaik-baiknya, bagi melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Titah baginda, ibadah haji merupakan satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.

Baginda turut disembah maklum bahawa bilangan pendeposit di Tabung Haji bagi negeri Selangor ialah sekitar 1.81 juta orang, dengan jumlah simpanan RM18.797 bilion.

Manakala jumlah jemaah haji dari Selangor adalah seramai 8,061 orang pada tahun ini.

Baginda turut menitahkan supaya kerajaan Selangor menaja 36 peserta haji dari sembilan daerah di negeri itu.

Mereka yang dipilih adalah dalam kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai...

Lagi Artikel Berkaitan