AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot pukat tunda kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa permit.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya menahan sebuah bot pukat tunda di kedudukan sekitar 1.9 batu nautika tenggara Esplanade, Kudat.
Katanya, penahanan dibuat ketika rondaan Op. Pluto Timur sekitar pukul 7.55 petang kelmarin.
“Dua lelaki warga Filipina didapati mengendalikan bot berkenaan. Kedua-dua individu terbabit berusia lingkungan 24 dan 46 tahun didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat barang kawalan bersubsidi yang dibawa bot berkenaan iaitu sejumlah 30 tong berisi minyak petrol dianggarkan sebanyak 600 liter,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama bot dan barang rampasan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan atau barang kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Pihak Zon Maritim Kudat memohon masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut,” katanya. – Edisi 9