29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bukan rampasan tentera, kerajaan awam berfungsi seperti biasa – PM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, proklamasi darurat yang diisytihar bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

Perdana Menteri menjelaskan, sepanjang darurat itu, kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa.

Menurutnya, jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri juga tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat berkenaan.

“Aktiviti ekonomi akan diteruskan mengikt prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam pengumuman khas darurat, hari ini. 

Selain itu kata Perdana Menteri, persidangan Parlimen juga ditiadakan dan tiada pilih raya umum akan diadakan semasa tempoh darurat.

Bagaimanapun katanya, badan kehakiman akan terus berfungsi seperti biasa.

Beliau pada masa sama memberi jaminan operasi perniagaan masih berjalan, walaupun proklamasi darurat sudah diisytiharkan.

“Kami tetap komited untuk tadbir urus yang baik. kestabilan yang berterusan akan membolehkan kita untuk mengekalkan dan membina pemulihan trajektori ekonomi, yang kita sudah berusaha keras selama ini,” katanya lagi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan hari ini.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan,” kata Istana Negara.

Ia adalah darurat yang kesembilan pernah diisytiharkan dalam sejarah negara.

Berikut adalah kronologi pengisytiharan darurat:

  1. Darurat Tanah Melayu (1948-1960)
Keganasan komunis menyebabkan kerajaan Tanah Melayu mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 hingga 1960. – Gambar Hiasan

Darurat Tanah Melayu diisytiharkan British di Malaya (Semenanjung Malaysia) dari tahun 1948 hingga 1960 bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

2. Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)

Konfrontasi Indonesia-Malaysia adalah konflik yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan darurat apabila tentera Indonesia menceroboh masuk ke sempadan Malaysia.

3. Sarawak (1966)

Advertisements

Kerajaan mengisytiharkan proklamasi Darurat di Sarawak pada 14 September 1966 susulan krisis politik membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

4. Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)

Peristiwa 13 Mei adalah insiden rusuhan kaum pada tahun 1969 susulan pilihan raya umum Malaysia pada tahun itu. Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.

5. Kelantan (1977)

Darurat diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan ketika itu pada 8 November 1977. Pengisytiharan itu dibuat susulan krisis politik membabitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir.

6. Jerebu (1997, 2005, 2013)

Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, darurat jerebu juga pernah diisytihar pada 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang). Darurat itu dilaksanakan susulan pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.

7. Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020.

Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik COVID-19.

8. Darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020.

Ia sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan yang dijadualkan serentak pada 16 Jan 2021.

9. Pengisytiharan Proklamasi Darurat (2021)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan