26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Anggota polis cedera dilibas parang semasa bertugas

Ujian saringan awal terhadap suspek mendapati dia bebas pengambilan dadah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG anggota polis cedera di tangan selepas terkena parang yang dilibas seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Masjid Kampung Lubuk Air, Air Hitam, Jitra, Kedah, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, Lans Koperal Ismarizal Ismail, 37, dari Balai Polis Air Hitam sedang menjalankan tugas Op Cegah bersama kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, terdahulu kakitangan AADK ke rumah lelaki berusia 26 tahun itu bagi menahannya, namun suspek enggan memberi kerjasama dan turut mengugut mereka menggunakan parang.

“Pihak AADK terpaksa membuat laporan di Balai Polis Air Hitam sebelum anggota polis bertindak ke lokasi bagi menahan suspek mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Namun, ketika hendak menangkap suspek, lelaki itu bertindak agresif dan berlaku pergelutan menyebabkan parang yang dilibasnya terkena tangan anggota polis menyebabkannya cedera di jari.

Advertisements

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor Metro Online hari ini.

Rodzi berkata, anggota polis yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ujian saringan awal terhadap suspek mendapati dia bebas pengambilan dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Turut dirampas parang yang digunakan suspek dalam kejadian itu bagi dijadikan bukti kes,” katanya.

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan