26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024
Home Blog Page 3

Tindakan MCA, MIC rugikan parti mereka sendiri – Wan Rosdy

TINDAKAN MCA dan MIC enggan turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada parti tersebut.

Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tindakan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili.

Beliau berkata, walaupun menghormati keputusan yang dibuat, namun sebagai rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, mereka harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon yang sesuai bertanding di kerusi tersebut.

“Dalam meraikan politik baharu yang lebih matang terutamanya selepas PRU-15, parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) termasuk UMNO sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Formula kerjasama ini telah memberikan kita peluang lebih baik seperti mana kemenangan yang telah BN capai ketika PRK Pelangai dan juga Tioman,” kata beliau yang juga Menteri Besar Pahang dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap MIC dan MCA mempertimbangkan semula tindakan mereka itu agar kemenangan PRK kali ini terus kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara ketika ini.

Beliau mengulas keputusan MCA tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan perpaduan bukan daripada BN, semalam.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat menjelang PRK pada 11 Mei.

Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan meletakkan calon daripada DAP dalam PRK tersebut memandangkan kerusi tersebut sebelum ini menjadi milik parti berkenaan.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah. – Edisi 9

KPT laksana moratorium pelawaan IPT berstatus swaakreditasi

0

DALAM usaha memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan moratorium pelawaan sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) berstatus swaakreditasi dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, perkara itu wajar dilakukan supaya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dapat melihat semula kriteria penilaian sebagai IPT berstatus swaakreditasi.

Katanya, moratorium itu hanya membabitkan permohonan baharu dan bukan yang sedang diproses oleh MQA.

“Selain itu, pengauditan dan penambahbaikan berterusan lebih berstruktur kepada semua IPT swaakreditasi sedia ada turut akan diadakan.

“Pelaksanaan ini wajar dilakukan mengambil faktor penilaian yang telah dibentangkan dan keperluan kita memelihara status IPT berprestij di negara ini,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus MQA bersama IPT Berstatus Swaakreditasi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA menjalankan tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan wakil 19 IPT swaakreditasi.

Azlinda berkata, beliau turut menyarankan setiap IPT swaakreditasi untuk memperkukuh pusat jaminan kualiti mereka dengan kakitangan yang mahir dilengkapi dengan latihan yang diiktiraf oleh MQA.

Sebagai contoh, penyertaan program Certified Quality Assurance Officer (CQA) perlu menjadi kriteria utama untuk kakitangan yang ditempatkan di pusat jaminan kualiti universiti.

“Program CQA anjuran MQA akan mengiktiraf pegawai dan ahli akademik sebagai pegawai penilai jaminan kualiti dalaman di universiti secara langsung menjadikan mereka sebagai cermin MQA untuk IPT swaakreditasi,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, setiap IPT di Malaysia yang berstatus swaakreditasi adalah sebuah universiti yang berprestij.

Katanya, status ‘berprestij’ itu perlu dinilai dan diertikan sebagai sebuah universiti yang menjadi rujukan, panduan dan penandaarasan oleh universiti, kolej universiti, kolej dan PPT lain di negara ini.

“Reputasi ini adalah signifikan untuk dikekalkan dan dipelihara oleh semua IPT swaakreditasi,” katanya. -Edisi 9

Beberapa masalah rencat perancangan selesai isu air di UMS

0

PERANCANGAN bagi menyelesaikan isu bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedikit terencat ekoran beberapa masalah lain yang timbul, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah isu bekalan air yang diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah tidak mencukupi, tekanan air yang rendah serta isu non-revenue water (NRW) di paip-paip kawasan luar menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna di UMS.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah sedang berusaha bersungguh-sungguh memastikan bekalan saluran air dapat dibekalkan ke kampus UMS dan sekitarnya.

“Saya telah berbincang dan mengarahkan agar semua gerak kerja ini akan diselesaikan sesegera mungkin melalui apa jua kaedah secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah.

“Pembangunan pesat yang sedang berlaku di sekitar UMS terutamanya pembinaan Hospital UMS juga perlu dititikberatkan oleh pihak UMS dan Jabatan Air Negeri Sabah agar bekalan adalah tersedia dan mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya hari ini.

Semalam, Zambry bersama Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan mengejut ke UMS bagi melihat sendiri situasi di kampus universiti itu ekoran rintihan dan keluhan warganya berhubung krisis air.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan krisis air di kampus UMS dan tambahan RM2 juta lagi diluluskan oleh Zambry.

Beliau berkata, buat masa sekarang pihak UMS telah memasang sembilan ‘tube well’ yang dapat membekalkan sehingga 1 juta liter air sehari namun ia tidak mencukupi memandangkan keperluan bagi warga kampus ialah sebanyak 5 juta liter sehari.

“Namun demikian, masalah utama air di UMS ini ialah bekalan air yang tidak mencukupi dan ini diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah. Saya difahamkan YAB Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau turut melawat kawasan tangki air besar yang merupakan antara tangki utama saluran air untuk kawasan sekitar Sepanggar dan juga untuk UMS.

Namun demikian, katanya, dalam kebanyakan keadaan, bekalan air yang tidak cuku serta tekanan air rendah di dalam tangki besar tersebut menyebabkan air tidak dapat di pam dan disalurkan ke paip-paip sekitar.

“Bersebelahan dengan tangki besar ini, juga sedang dalam pembinaan ialah sebuah tangki utama khas untuk kegunaan dalam UMS. Insya-Allah apabila siap, sedikit sebanyak dapat meningkatkan peratusan UMS memperolehi bekalan air yang terhad daripada Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya. – Edisi 9

UMNO bukan parti ‘Malaya’ tapi perjuang seluruh rakyat – Zahid

0

UMNO bukan sebuah parti ‘Malaya’ (Semenanjung) sebaliknya ia adalah sebuah parti kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuk di Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru itu, usaha membawa ia masuk ke Negeri Di Bawah Bayu suatu ketika dahulu bukan untuk memecah-belahkan parti dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung, sebaliknya adalah usaha menyatukan rakyat di negara ini di bawah payung yang sama.

Beliau berkata rakyat Sabah sendiri yang inginkan UMNO masuk ke Sabah malah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), mahu ‘percantuman’ jiwa antara rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“UMNO asalnya tiada hasrat untuk masuk ke Sabah tetapi UMNO dijemput oleh orang Sabah. Rakyat Sabah yang mahukan UMNO bersama-sama berkembang di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed.

Ahmad Zahid juga berkata permintaan dan cita rasa rakyat Sabah diterjemahkan ketika itu malah beliau sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia telah datang ke negeri berkenaan membawa borang keahlian apabila parti tersebut ditubuhkan di Sabah.

Beliau berkata kerja kuat, kesatupaduan rakyat Sabah khususnya peribumi dan bumiputera Sabah membuatkan UMNO menjadi gemilang dan menjadi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata rakyat Sabah dan UMNO telah diuji dalam keadaan yang sukar namun beliau yakin bahawa ujian tersebut akan memberi kejayaan kepada parti.

“Apa yang sedang kita alami ini, jika berlaku peristiwa besar pada tahun ini, mungkin kalau tidak di pertengahan tahun, di tiga perempat tahun atau selewat-lewatnya tahun depan, saya yakin kalaulah ini semangat yang diperlihatkan, kemenangan akan memihak kepada kita,” katanya. – BERNAMA

100 induk kelisa emas dilepaskan ke Tasik Bukit Merah

0

SEBANYAK 100 ekor induk ikan kelisa emas bernilai RM150,000 dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) ke Tasik Bukit Merah, Kerian, Perak bagi memulihara dan memastikan kemampanan spesies tersebut di habitat semulajadinya.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pelepasan yang diadakan secara berperingkat bermula 17 April yang lalu itu sebagai langkah untuk merancakkan dan mengembangkan semula industri ikan kelisa emas.

“Bagi menjamin kejayaan usaha konservasi, penglibatan dan kerjasama semua pihak adalah perlu kerana saling bergantung di antara satu sama lain. Induk ikan kelisa emas yang dilepaskan hari ini merupakan sumbangan penternak di daerah ini.

“Kehadiran penternak serta komuniti nelayan pada hari ini jelas menunjukkan komitmen mereka dalam membantu jabatan menjayakan usaha pemuliharaan bagi menjamin kelestarian sumber,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Adnan berkata, pada tahun lalu sebanyak 1.5 juta ekor ikan kelisa berjaya dieksport dengan nilai dagangan sebanyak RM78 juta.

Katanya, Jabatan Perikanan sentiasa bersedia membantu pengusaha dalam memberi khidmat nasihat teknikal dan pengurusan terutama dari segi urusan mendapatkan permit Convention on International Trade in Endangered Species (CITES) bagi tujuan eksport.

Katanya, bermula dari tahun 2011 hingga 2024, seramai 18 penternak ikan kelisa emas di negeri Perak telah menerima bantuan peralatan dan input bagi aktiviti akuakultur melalui Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.49 juta.

Jelas beliau lagi, jabatan juga sedang meneliti dan menilai semula Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah, Perak sedia ada agar lebih relevan dengan pembangunan semasa kawasan tersebut.

Adnan berkata, Jabatan Perikanan negeri telah mengambil inisiatif menyenaraikan serta memasukkan terma santuari dan spesies ikan kelisa emas sebagai ikan yang dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Negeri Perak 1992.

Katanya, cadangan pindaan pelaksanaan penguatkuasaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1992 Negeri Perak juga menyentuh berkenaan kawalan penangkapan ikan kelisa emas di perairan sungai dengan menghadkan saiz maksima 15 cm (6 inci) sahaja yang boleh ditangkap.

“Penguatkuasa jabatan juga sentiasa membuat rondaan berkala di kawasan tempat pelepasan bagi memastikan ikan-ikan tersebut tidak ditangkap.

“Dalam sesi libat urus bersama nelayan yang pernah diadakan sebelum ini juga, jabatan turut mengingatkan kepada mereka agar tidak menangkap ikan kelisa emas dan melepaskan semula ikan tersebut sekiranya tertangkap,” katanya. – Edisi 9

Piala Asia B23: Harimau Muda ‘bungkus’ lebih awal

0

SKUAD Harimau Muda “pulang awal” dalam aksi Piala Asia Bawah 23 Tahun (B23) setelah tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D di Khalifa International Stadium di Doha, Qatar, sebentar tadi.

Mengulangi kesilapan mudah sehingga membuka peluang pasukan lawan menjaringkan gol sepertimana aksi pertama Kumpulan D menentang Uzbekistan berulang ketika bertemu pasukan Asia Tenggara itu.

Turun dengan misi untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan seterusnya, anak buah Juan Torres Garrido bermula dengan baik susulan percubaan awal dilancarkan Fergus Tierney.

Namun, percubaan Tierney seawal minit keempat dalam kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Vietnam yang dikawal Van Chuan Quan.

Tersentak dengan serangan tersebut, Vietnam kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik.

Peluang pertama hadir pada minit ke-18 selepas Vo Hoang Minh Khoa melakukan tandukan selepas menerima umpanan cantik rakan sepasukannya tetapi ditepis dengan baik Muhammad Azim Al Amin.

Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada minit ke-39 apabila mereka dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti di penjuru kiri gol negara.

Seakan percuma diambil Van Khang Khuat terus menerjah gawang skuad negara bagi meletakkan skuad kendalian Anh Tuang Hoan itu dihadapan.

Nooa Laine mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti diselamatkan Chuan Quan.

Vietnam menambah jaringan kedua ketika aksi memasuki minit ke-60 menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Minh Khoa.

Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil perlawanan dari Iran, Mooud Bonyadifard berikutan kekasaran dilakukan Ubaidullah Shamsul ke atas Vi Hao Bui.

Malaysia cuba bangkit dengan dua percubaan terbaik oleh dua pemain gantian iaitu Haqimi Azim Rosli dan Alif Izwan pada lewat permainan tetapi Chuan Quan cemerlang menggagalkan percubaan tersebut untuk memastikan Vietnam meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Malaysia akan berdepan Kuwait yang dibelasah Uzbekistan 5-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D Selasa ini namun tidak memberi apa-apa makna kepada kedua-dua pasukan. – Edisi 9

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

0

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini.

Allahyarham merupakan KPN keempat dan paling lama memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu dari tahun 1974 sebelum secara rasmi pada 16 Januari 1994.

Beliau sebelum ini menderita penyakit buah pinggang akan dibawa ke Masjid Negara untuk disolat dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain bersama Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay merakamkan ucapan takziah keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang.

Sementara itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohammed Hanif.

Katanya, Allahyarham berjasa besar kepada negara terutama dalam memastikan keselamatan dan keamanan bersama Majlis Gerakan Negara (Mageran) suatu ketika dahulu.

“Arwah merupakan KPN yang paling lama sekali, bermula memegang jawatan pada usia 35 tahun sekitar tahun 1974 ketika Allahyarham Tun Razak Perdana Menteri.

“Besar sumbangan dan jasanya kepada negara terutamanya memastikan keselamatan dan keamanan negara bersama-sama Mageran satu ketika dahulu.

“Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi Facebook beliau. – Edisi 9

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

0

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang mengetuai, beberapa program yang dianjurkan di sekolah dan universiti.

“Memang ramai yang menganggap saya seorang yang pendiam dan introvert. Namun saya sebenarnya lebih gemar bersuara apabila perlu, terutamanya apabila menyuarakan pendapat yang mampu memberikan impak kepada pemegang taruh di sekeliling, baik warga kampus mahu pun orang awam,” kata Siti Hajar Badzlin Ghazali, anak kelahiran Putrajaya ini memulakan perbualan.

Siti Hajar merupakan mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Bioperubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini bukan sahaja aktif di kampus, malah turut mengambil peluang untuk memberi khidmat kepada masyarakat setempat dengan menjadi Ahli Parlimen Belia mewakili kawasan Putrajaya.

“Pada mulanya tidak pernah pun terlintas di fikiran saya untuk menawarkan diri menjadi Ahli Parlimen Belia, namun setelah melihat potensi untuk menyumbang kepada komuniti menerusi platform ini, saya tidak menoleh ke belakang lagi.”

Walaupun pendiam namun Siti Hajar aktif dalam pelbagai aktiviti di peringkat universiti.

“Tambahan pula, platform yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini melatih anak-anak muda untuk berani mengetengahkan idea dan solusi kepada isu-isu setempat dan nasional.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi pemudah cara untuk golongan muda sama-sama menyertai komuniti setempat yang latar demografinya, pemikirannya, dan tradisinya cukup berbeza jika dibandingkan dengan warga kampus,” katanya.

Berpegang teguh dengan ungkapan ‘negara adalah cerminan rakyatnya’, Hajar mendedikasikan usaha dan tenaganya di dalam Parlimen Belia untuk mengintegrasi dan mensinergikan usaha-usaha strategik yang diilhamkan di institusi pendidikan untuk direalisasikan di peringkat komuniti.

“Boleh saya katakan tiada platform lain yang benar-benar mampu memberikan peluang kepada anak muda untuk memberikan impak kepada masyarakat secara langsung sebegini,” terangnya yang mesra disapa Hajar ini.

Berbekalkan pengalamannya mendekati komuniti setempat, dan komitmen dalam membawa isu-isu semasa, Hajar turut menawarkan diri menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Generational End Game (GEG di Universiti Malaya (UM).

“Sebagaimana yang kita tahu, GEG ialah sebuah gerakan yang cuba menyelamatkan generasi akan datang daripada bahaya rokok dan vape dengan melobi supaya sebuah undang-undang diadakan bagi menghalang penjualan produk-produk ini kepada mereka yang lahir selepas 2007.

“Walaupun undang-undang tersebut sudah pun dibentang dan diluluskan tanpa klausa khusus ini, namun kami tetap meneruskan aktiviti kami berkongsi bahaya ketagihan rokok dan vape kepada murid-murid sekolah di seluruh Lembah Klang.”

Dua bot Vietnam ditahan sedang leka kaut hasil laut Kudat

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam sedang leka mengaut hasil laut di sekitar 5.2 dan 4.4 batu nautika timur laut Pulau Sibongor Laut, Kudat, Sabah kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kedua-dua bot terbabit berjaya dikesan aset ronda Zon Maritim Kudat ketika menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut.

Beliau berkata, semasa diperiksa didapati, seramai 12 orang individu warganegara Vietnam berumur lingkungan 23 hingga 53 tahun yang mengendalikan kedua-dua bot berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua bot terbabit juga telah menemui lebih kurang 20kg balat basah, peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi serta lebih kurang 600 liter minyak diesel.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih kurang RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Maurice Grenville Abeyeratne (kanan) menunjukkan hasil laut yang dirampas daripada bot nelayan Vietnam di perairan Kudat, Sabah.

Maurice berkata, kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Edisi 9

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

0

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang industri automotif berteknologi tinggi.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antaranya ialah kenderaan elektrik (EV), kenderaan tenaga diperbaharui (REV), kenderaan berasaskan hidrogen dan lain-lain dengan kerjasama syarikat gergasi automotif negara China.

Beliau berkata, buat permulaan kerajaan China bersetuju membiayai sepenuhnya kos 2,000 pelatih TVET untuk menjalani program latihan industri di negara itu manakala MARA akan hanya membiayai kos penerbangan pelajar.

Katanya, perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat dan melihat sendiri Pusat Latihan GiatMARA Bagan Datuk, semalam.

“Kelmarin (semalam) juga wakil Beifang Education Institute, sebuah institusi TVET gergasi di China menyatakan persetujuan untuk melabur sebanyak RM20 juta di GiatMARA Bagan Datuk dalam bentuk peralatan dan mesin terkini pembelajaran bidang automotif bagi menjadikan pusat latihan ini sebagai hub latihan MCI di bawah MARA.

GiatMARA Bagan Datuk menyediakan kursus bidang teknologi automotif.

“Ini akan memberi peluang kepada anak-anak tempatan mendapat kemahiran dalam pelbagai teknologi seperti dalam bidang automotif, EV, latihan automotif tenaga hidrogen dan pelbagai bidang teknologi yang canggih daripada negara China,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berharap usaha tersebut dapat memberi peluang anak-anak tempatan memanfaatkan peluang dan ruang yang ada bagi mempelajari kemahiran dalam bidang TVET seterusnya dapat menjamin masa hadapan.

GiatMARA Bagan Datuk telah ditubuhkan pada tahun 1992 dan sehingga kini telah melahirkan seramai 1,972 pelajar dalam bidang kursus antaranya Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Teknologi Automotif, Teknologi Baik Pulih dan Mengecat Kenderaan, dan Kursus Senireka Gaya Rambut.

Lebih 81 peratus pelajar yang menamatkan pengajian di GiatMARA Bagan Datuk telah memperoleh pekerjaan manakala selebihnya memilih untuk menjadi usahawan dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. – Edisi 9

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

0

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan bahawa perkara itu susulan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh yang telah turun ke lokasi kejadian.

“KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB cawangan Temerloh di lapangan.

“Turut hadir ke lokasi ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan lokasi kejadian ialah di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau.

Menurut KPKM, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah dirujuk dengan pihak KPB KPKM.

Kementerian itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar kampit beras, tin sardin, tepung dan barangan makanan yang dibuang di kawasan pembuangan sampah, sehingga mendapat pelbagai maklum balas negatif daripada warganet.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menjelaskan, beras dan barangan dapur yang dibuang di tapak pelupusan sampah itu adalah stok simpanan pihanya yang sentiasa disediakan bagi keperluan masyarakat.

Beliau berkata, bagaimanapun stok beras dan barangan dapur yang disimpan di stor simpanan itu terpaksa dibuang pada 5 April lalu kerana sudah rosak dan berbau busuk, selain dimakan tikus.

“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pembelian barangan dapur tersebut tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang atau peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir. – Edisi 9

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili Kerajaan Perpaduan dan bukannya atas nama parti tertentu.

Pengerusi Penyelaras Gerak Kerja Jentera Kerajaan Perpaduan bagi PRK tersebut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, siapa pun calon yang akan dipertaruhkan ia akan mewakili kerajaan.

“Calon ini daripada Kerajaan Perpaduan, bukan calon dianggap atas nama parti. Kita akan memperkenalkan calon ini sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

“Sesiapa pun yang masuk gelanggang tentunya dengan hasrat untuk menang.

“Jadi, kita akan susun gerak kerja dan program-program yang baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa misi politik yang baik, iaitu ‘politik kesederhanaan‘ daripada Kerajaan Madani,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu diadakan pada hari Sabtu, 11 Mei dengan tarikh penamaan calon pada hari Sabtu, 27 April ini manakala pengundian awal ditetapkan pada Selasa, 7 Mei.

PRK itu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calonnya dalam PRK tersebut sebaliknya memberi ruang kepada parti lain di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk menyertainya. – Edisi 9