26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024
Home Blog Page 2

Parti-parti kerajaan sepakat pertahan ‘Politik Kesederhanaan’

0

KESEMUA parti dalam kerajaan perpaduan hari ini menyatakan kesepakatan untuk terus mempertahankan orientasi dan pendekatan ‘Politik Kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, dengan pendekatan kesederhaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberi tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat.

Katanya, ini terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata, mesyuarat memandang serius tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara dan kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

“Mesyuarat sepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir dalam mesyuarat tersebut kesemua pucuk pimpinan parti-parti kerajaan perpaduan.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, dalam mesyuarat tersebut turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Katanya, mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Steven Sim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu diadakan pada hari Sabtu, 11 Mei dengan hari penamaan calon ditetapkan 27 April sementara hari pengundian awal pada 7 Mei.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas. – Edisi 9

Ekor helikopter AW139 dikesan, kotak hitam pesawat ditemui

0

KOTAK hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas ketika melakukan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor telah ditemui hari ini.

Ketua Pengarah Mariyim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kotak hitam berkenaan ditemui pasukan penyelam penyelamat agensi itu selepas misi pencarian memasuki hari ke-44.

Katanya, ia berikut ekor pesawat helikopter terbabit yang berjaya dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

“Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kotak hitam helikopter AW139 dibawa ke makmal untuk dianalisis.

Terdahulu operasi pencarian kotak hitam berkenaan membabitkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia yang dikoordinasikan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), misi pencarian kotak hitam turut disertai beberapa agensi lain.

Antaranya, kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

Dalam kejadian 5 Mac lalu, helikopter AW 139 dengan pendaftaran pesawat M72-01 milik Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas di dalam laut di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada kira-kira pukul 9.55 pagi.

Pesawat tersebut diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut berada di dalam helikopter berkenaan ialah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Kesemua mangsa diselamatkan oleh pemancing yang kebetulan berada di kawasan tersebut. – Edisi 9

Hati-hati dengan promosi harga ternakan luar biasa murah

0

ORANG ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan tawaran atau promosi ternakan berharga luar biasa murah berbanding pasaran.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, ini kerana dikhuatiri ternakan tersebut dibekalkan tanpa melalui pemeriksaan kesihatan veterinar yang diperlukan bagi sebarang pemindahan dan penyembelihan ternakan.

Beliau berkata, pembeli berhak meminta penjual menunjukkan permit pemindahan ternakan dan sijil kesihatan serta mengenal pasti tag ternakan atau apa-apa tanda pengenalan untuk kepastian ternakan telah diperiksa oleh DVS.

“DVS mengambil perhatian peningkatan jualan kambing dengan harga luar biasa murah kerana dikhuatiri bekalan diperolehi daripada punca yang tidak dapat dikenal pasti status kesihatan ternakan berkenaan,” kata DVS dalam satu kenyataan hari ini.

Amaran itu dikeluarkan susulan isu penjualan kambing sama ada hidup atau disembelih yang tular dalam negara kebelakangan ini.

DVS berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan bekalan daging negara ini bebas daripada sebarang penyakit, selamat untuk dimakan serta tidak memberi risiko ancaman penyakit kepada industri ternakan negara.

Katanya, ternakan yang tidak melalui proses kuarantin dan tidak diketahui status kesihatannya dikhuatiri boleh membawa pelbagai penyakit ternakan dan lebih membimbangkan penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia.

“Pembeli ternakan berkemungkinan besar mempunyai risiko djangkiti penyakit-penyakit zoonotik seperti yang dinyatakan jika ternakan yang dibeli tidak diketahui status kesihatan.

“Risiko penyebaran penyakit kepada ternakan sedia ada semakin tinggi jika pembelian berkenaan bertujuan untuk diternak,” katanya.

Bagi menangani isu ini, DVS telah menubuhkan petugas khas bertujuan mengesan ladang-ladang yang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan yang tidak diketahui punca bekalan. – Edisi 9

Rumah Terbuka Madani ‘singgah’ di tiga negeri pembangkang

0

KERAJAAN perpaduan akan mengadakan majlis Rumah Terbuka Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tujuh buah negeri termasuk di tiga negeri dikuasai pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sekretariat Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 dalam kenyataannya berkata, penganjuran majlis tersebut akan diadakan dengan kerjasama antara kerajaan negeri selaku tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai pelaksana bersama.

Kenyataan itu berkata, kesemua majlis tersebut akan dihadiri sendiri oleh Anwar dan turut bakal dihadiri oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.

“Tujuan utama penganjuran majlis Sambutan Aidilfitri Madani adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.

“Majlis Sambutan Aidilfitri Madani turut memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri,” kata kenyataan itu hari ini.

Sekretariat itu berkata, majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 20 April bermula 10.30 pagi hingga 3 petang.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah akan bertindak sebagai tuan rumah bersama-sama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sebagai kementerian peneraju.

Negeri Johor pula, katanya, akan menjadi negeri pertama pelaksanaan Majlis
Sambutan Aidilfitri Madani iaitu pada 18 April di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall bermula pukul 4 petang hingga 7 malam.

Katanya, Kerajaan Negeri Johor akan bertindak selaku tuan rumah bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.

Selain Sabah dan Johor, majlis sama akan berlangsung di Melaka pada 22 April, Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan Terengganu pada 9 Mei 2024.

Tahun lalu, majlis Rumah Terbuka Madani melibatkan enam buah negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor. – Edisi 9

Tiada formula tarik undi Melayu selagi tiga isu sensitif disentuh

TIADA formula untuk menarik undi orang Melayu khususnya di Kuala Kubu Baharu selagi ada pihak-pihak yang berani menyentuh isu sensitif iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh berkata, jika tiga perkara tersebut disentuh orang Melayu tidak akan berdiam diri dan tiada formula yang dapat menarik sokongan mereka.

“Saya tiada formula untuk diberikan kerana saya bukan raja formula tetapi saya ada prinsip yang perlu dipertahankan iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu.

“Jangan sesekali sentuh isu sensitif orang Melayu iaitu jangan sesekali sentuh agama Islam, jangan sesekali sentuh bangsa Melayu, kangan sesekali sentuh Raja-raja Melayu.

“Kerana selama ini orang Melayu bukan bersifat rasis tetapi hanya mempertahankan hak mereka tanpa mengambil hak kaum-kaum lain.

“Kami boleh berkawan dan memahami dengan sesiapa sahaja tetapi sesekali disentuh tiga perkara utama ini, orang Melayu tidak akan berdiam diri walaupun menggunakan sesiapa sahaja waima Dr Akmal Saleh pun tidak mampu untuk menarik undi orang Melayu jika ia berlaku,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Dr Akmal mengulas kenyataan seorang pensyarah yang mencadangkan agar kerajaan perpaduan memikirkan formula tertentu untuk memanfaatkan Ketua Pemuda UMNO itu untuk menarik sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, bulan depan.

Ini kerana, menurut Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Putrajaya tidak boleh terus hanya bergantung kepada sokongan bukan Melayu.

“Sehingga kini saya melihat kerajaan perpaduan yang didominasi oleh PH seakan-akan sudah menerima hakikat bahawa sokongan Melayu akan kekal teguh di belakang PN,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Dr Akmal sebelum ini menggerakkan kempen memboikot sebuah rangkaian kedai serbaneka kerana menjual stoking tertera kalimah Allah yang mendapat sokongan positif daripada kalangan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Bagaimanapun, usaha beliau itu mendapat tentangan daripada rakan-rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan terutama DAP yang mendakwa usaha yang dilakukan Dr Akmal itu sebagai ekstrem. – Edisi 9

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki warga Bangladesh, dua warga India dan seorang warga Indonesia yang berusia antara 21 hingga 49 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor yang membuat serbuan di 15 premis, tengah malam tadi.

“Tindakan diambil susulan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warganegara asing tidak memiliki pas/permit yang sah di lokasi hotspot tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 115 orang warga asing telah diperiksa dalam operasi tersebut.

Baharuddin berkata, kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Kata beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi panas bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mereka turut diseru untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang telah bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Disember ini bagi membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela. – Edisi 9

Rumah terbuka: KPKM jamin bekalan makanan asas mencukupi

0

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas mencukupi sepanjang bulan Syawal ini.

KPKM dalam kenyataannya berkata, keyakinan itu selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Manakala bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula, katanya, akan ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.

“Tradisi mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia. Tradisi rumah terbuka ini bukan sahaja dianjurkan oleh individu dan keluarga, malah turut dianjurkan oleh sektor awam, korporat, perniagaan, komuniti dan NGO.

“Oleh itu, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan bekalan makanan negara, KPKM akan terus memberikan perhatian sepanjang bulan Syawal ini terhadap lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan
Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Ini meliputi bekalan beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan pengguna.

Jelas kementerian itu, kebolehcapaian komoditi makanan utama itu juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),
selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran makanan, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka di bulan Syawal ini,” katanya. – Edisi 9

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

0

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, kerjasama itu merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat, pengukuhan institusi legislatif, pembinaan kapasiti dan pembangunan belia sehingga 2025.

Menurut beliau, pembaharuan kerjasama itu telah diperkukuhkan berdasarkan kejayaan usahasama antara UNDP dan Parlimen Malaysia dari 2019 hingga 2023 lalu.

“Kedua-dua pihak terlibat dalam perbincangan yang membuahkan hasil positif dalam pelbagai bidang, khususnya mengenai pengukuhan sistem tadbir urus dan pemerkasaan Parlimen serta isu alam sekitar, perubahan iklim dan kemiskinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari sebelum itu menerima kunjungan Pentadbir Bersekutu UNDP, Haoliang Xu di Parlimen hari ini.

Untuk rekod, Xu pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung Rendah PBB dan Pentadbir Bersekutu UNDP oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun 2023.

Sebelum ini, beliau memegang pelbagai jawatan peringkat tinggi dalam sistem PBB, termasuk Penolong Setiausaha Agung PBB, UNDP Penolong Pentadbir dan Pengarah Biro Sokongan Dasar dan Program, dan Penolong Pentadbir UNDP dan Pengarah Serantau untuk Asia dan Pasifik dari September 2013 hingga Julai 2019.

UNDP merupakan sebuah badan yang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa, serantau dan nasional dalam usahanya untuk mendukung pembangunan Malaysia.

Xu dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Liew Chin Tong sehingga 18 April 2024. – Edisi 9

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

0

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya akan memantau projek itu secara lebih rapat, bagi memastikan tiada lagi penangguhan berlaku seperti sebelum ini.

“Dalam kes kem di Mersing itu, saya difahamkan sudah enam kali pihak pemaju mohon EOT (lanjutan masa) sejak tahun 2020. Saya sudah berhubung dengan pihak JKR untuk mendapatkan maklumat terkini. Sekiranya tidak siap JKR kena jawab.

“Saya juga lihat banyak projek yang terpaksa ditambah masa (di Johor), justeru itu pengurusan projek perlu ada pemantauan lebih baik untuk memastikan kos tidak naik dan juga projek selesai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama di Malaysia, di Iskandar Puteri hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan 98 peratus dengan hanya kerja-kerja pemasangan jubin, kemasan jalan, penyediaan perabot, pembahagi ruang pejabat dan pintu, yang masih perlu disiapkan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) dilaporkan bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam yang merupakan fasiliti amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim itu disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018. – BERNAMA

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

0

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai ‘professor of practice’ atau profesor praktis.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kualiti pendidikan tinggi Malaysia sememangnya sudah tidak boleh disangkal lagi di persada antarabangsa dan prestasinya dapat dilihat menenerusi pelbagai aspek seperti kebolehpasaran graduan dan kedudukan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan di kedudukan universiti dunia.

Namun begitu, katanya, kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana ruang penambahbaikan sentiasa ada untuk terus meningkatkan lagi imej serta tahap kualiti pendidikan tinggi.

“Satu daripada caranya ialah dengan melahirkan lebih ramai profesor praktis yang mana seseorang profesor bukan hanya menguasai teori tetapi lebih penting mampu menterjemahkannya kepada realiti dalam bentuk praktik.

“Misalnya, profesor kejuruteraan mekanikal bukan hanya tahu bagaimana sesebuah mesin berfungsi, tetapi mampu untuk membaikinya sekiranya rosak,” katanya.

Profesor praktis ialah anugerah yang diberikan kepada individu berpengalaman luas dengan kepakaran tertentu dalam sesuatu bidang yang membawa gelaran ‘profesor’ di IPT yang menganugerahkannya.

Penerima biasanya seseorang yang banyak memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Mohammad Shatar berkata, perkara itu bukanlah baharu, jika dilihat di negara maju, profesor sering dirujuk sekiranya masyarakat berdepan dengan masalah dan bukan sekadar untuk memberi teori tetapi berkongsi solusinya.

Katanya, beliau yakin dengan cara itu, kualiti pendidikan tinggi Malaysia akan melonjak lebih jauh terutama apabila menjadi budaya dalam kalangan profesor.

“IPT tempatan disaran melahirkan lebih ramai profesor praktis bagi membantu membangunkan program yang ditawarkan supaya lebih relevan dan memenuhi kehendak industri.

“Insiatif ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya. -Edisi 9

Agong mahu penjelasan isu kelewatan projek kolam selam tempur

0

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing agar memperjelaskan punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 namun sehingga kini masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan. Dan pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Justeru, Seri Paduka Baginda menitahkan papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.

Papan tanda projek pembinaan kolam selam tempur yang dirobohkan sebelum ini.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan oleh Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Kolam selam tempur merupakan fasilitas yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompitensi individu dan tim khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasilitas itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara serta banyak lagi kemudahan-kemudahan asas sokongan operasi.

Kelmarin, ketika Seri Paduka Baginda membuat tinjauan melalui udara di persekitaran Mersing mendapati kolam selam tempur tersebut masih belum disiapkan walaupun sepatutnya diserahkan kepada 21 GGK akhir tahun 2022.

Sejak beroperasi pada 2005, Kem Iskandar tidak mempunyai kemudahan latihan kepakaran air dan udara menyebabkan 21 GGK mengalami kesukaran untuk melatih dan melahirkan anggota baharu yang mempunyai kemahiran selaman, kepakaran dalam air dan perenang tempur.

Justeru pembinaan pembinaan kolam selam tempur tersebut memberi impak berkesan di dalam kepakaran perairan kepada pasukan tersebut khasnya dan Tentera Darat amnya.

Manakala lokasi dipilih pula bersesuaian dengan penempatan Rejimen 22 Komando yang dikhususkan bagi memiliki kemahiran tinggi dalam operasi perairan.

Kolam selam tempur 21 GGK dibina di kawasan seluas 2,787 meter persegi dalam kawasan Kem Iskandar dan sepatutnya disiapkan dalam tempoh kurang setahun. – Edisi 9

Penyesalan tidak kembalikan senyuman manis anak anda

0

Oleh PROF MADYA DR LILY AZURA SHOAIB dan DR NOORHIDAYAH ZAINAL AALAM

SAMBUTAN Aidilfitri di sepanjang bulan Syawal di Malaysia selalunya berlangsung dengan meriah dengan berpakaian pelbagai warna dan gaya serta hidangan makanan tradisional dan moden yang beraneka rasa.

Semasa musim perayaan juga, setiap isi rumah di Malaysia cenderung ke arah peningkatan pengambilan makanan dengan kadar gula yang tinggi.

Di kala sibuk menyambut ketibaan Syawal, ibu bapa muda Malaysia menghadapi tanggungjawab kritikal untuk menjaga kesihatan pergigian anak-anak kecil mereka.

Sambutan hari raya, biasanya tidak lengkap dengan makanan tradisional yang enak, aneka kuih-muih dengan kandungan gula yang tinggi serta minuman berkarbonat yang menyegarkan selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Akan tetapi menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menanamkan dan mengekalkan tabiat pergigian yang sihat dan positif di dalam diri anak-anak sejak awal usia.

Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Mesej yang ingin disampaikan di sini adalah “cegah sebelum terlewat, kerana penyesalan tidak akan mengembalikan senyuman anak anda.”

Kuih-muih di musim perayaan biasanya mengandungi kandungan gula yang tinggi. – Gambar hiasan

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak mereka menanggung kesakitan. Masalah sakit gigi yang akut selalunya berpunca daripada gigi berlubang yang tidak dirawat.

Penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga ia telah terlambat. Anak anda mungkin mengalami masalah tidak boleh makan atau tidur kerana menahan kesakitan yang berpunca daripada gigi.

Statistik menunjukkan enam daripada 10 orang kanak-kanak berumur 6 tahun di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi yang berlubang.

Sesetengah ibu bapa hanya membawa anak mereka untuk pemeriksaan gigi apabila ia telah terlambat dan rawatan kecemasan pergigian untuk anak kecil adalah tidak semudah yang disangkakan.

Jadilah ibu bapa muda yang proaktif dan bukan ibu bapa reaktif. Ibu bapa harus bertindak segera mencegah sebarang masalah pergigian dan tidak menunggu sehingga timbulnya masalah.

Semestinya ibu bapa muda tidak mahu melihat anak kecil mereka menderita kesakitan, menghadapi trauma semasa menjalani rawatan pergigian dan membayar kos rawatan yang mahal.

Pastinya ibu bapa mahukan senyuman manis dari anak-anak dan bukannya tersenyum ‘rongak’.

Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa muda ini menjadi proaktif dalam menguruskan kebersihan dan kesihatan gigi anak kecil.

Ibu bapa perlu proaktif dalam memastikan memberus gigi secara berkala, dan bersederhana dalam pengambilan gula untuk pemakanan si kecil.

Hadkan pengambilan gula untuk anak kecil anda supaya tidak melebihi tiga hidangan sehari bagi minuman atau makanan anak kecil mereka.

Jadi, mengapa ibu bapa perlu mengawal kekerapan pengambilan gula untuk anak kecil mereka?

Secara semulajadinya, bakteria akan membentuk lapisan plak di atas permukaan gigi dan air liur berfungsi untuk mengimbangi ion-ion di dalam mulut dan melindungi gigi daripada kerosakan.

boy with green and white pacifier
Photo by Quang Tri NGUYEN on Unsplash

Kerosakan gigi disebabkan aktiviti bakteria kariogenik yang menghasilkan asid yang tinggi di dalam mulut apabila terdedah kepada gula dalam makanan harian.

Semakin tinggi kekerapan pengambikan makanan bergula, semakin lama gigi di dalam mulut terdedah kepada asid dan akan menyebabkan gigi berlubang kerana air liur tidak dapat mengimbangi keadaan berasid di dalam mulut.

Proses kerosakan gigi bermula dengan munculnya bintik putih pada enamel (lapisan paling luar gigi) diikuti munculnya lubang kecil (kaviti) pada gigi yang berwarna kecoklatan, dan warna nya akan menjadi semakin gelap.

Apabila proses ini itdak terhenti, gejala ini akan menular hingga ke saraf gigi (pulpa) dan menyebabkan kesakitan gigi serta jangkitan dan nanah pada gusi.

Di saat itu anak anda akan kerap menangis, kurang makan dan terganggu tidurnya. Pastinya emosi anak-anak ini dan ibu bapa sendiri akan terganggu.

Semestinya juga apabila anak kecil ini mengalami kesakitan, adalah amat sukar untuk mereka bekerjasama untuk membenarkan rawatan pergigian dijalankan dengan baik.

Terutamanya apabila ibu bapa mengambil sikap acuh tak acuh hanya berjumpa doktor gigi kanak-kanak apabila terdesak.

Banyak keadan ibu bapa cuba mendapatkan rawatan apabila keaadan sudah terlalu lewat, dan gigi anak kecil itu tidak dapat diselamatkan.

Sering juga rawatan tidak dapat dilakukan di kerusi pergigian tetapi berakhir di dewan bedah di mana anak kecil ini perlu dibius.

Ingatlah tidak semua anak kecil boleh bekerjasama untuk menjalankan rawatan pergigian apatah lagi apabila di dalam kesakitan.

Oleh itu jadikanlah musim perayaan ini titik tolak untuk berubah, supaya ia disambut bukan sahaja dengan kemeriahan tetapi juga dengan iltizam menjaga kesihatan pergigian dan kebahagiaan anak kecil anda.

Jangan tunggu sehingga terlambat dan menghadapi penyesalan. Ingatlah senyuman yang manis dengan gigi lengkap putih berseri juga adalah satu sedekah.

Ia juga mencerminkan sikap prihatin dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak kecil mereka.


Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pergigian dan Ortodontik Pediatrik, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.