23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Manifestasi Dua Seni memartabat karya seni dan sastera

Mesti Baca

MANIFESTASI Dua Seni yang sedang berlangsung di seluruh negara sehingga Januari depan merupakan platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.

Pada masa yang sama, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman, program itu juga bertujuan memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.

“Program ini menawarkan pengalaman seni yang luar biasa, menggabungkan dua cabang seni utama iaitu seni visual dan sastera sebagai usaha bagi memperkukuh identiti budaya Malaysia.

“Ia memberi tumpuan kepada kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair, dan penggiat seni, dengan harapan mencipta pengalaman seni yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kalendar Program 2025 dan merasmikan Program Manifestasi Dua Seni di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Roslan berkata, dengan menampilkan karya-karya agung sastera dan seni visual, Manifestasi Dua Seni turut memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas.

“Ia juga berperanan sebagai medium untuk menghargai karya-karya lama, sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang,” katanya.

Advertisements

Manifestasi Dua Seni menerima penglibatan daripada pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara antaranya Roman Buku Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur; PORT di Ipoh, Perak, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, Pahang dan Kotak Seni di Kelantan.

Selain itu Ambeng Art Space di Johor, Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah dan Haus KCH di Sarawak juga turut serta dalam menjayakan program ini.

Setiap persatuan menganjurkan aktiviti kesenian seperti pameran, bengkel seni, malam puisi, dan persembahan seni, yang menyerlahkan keunikan seni dan sastera di setiap negeri.

Terdapat juga pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya agung, memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni visual dan penulisan.

Antara program yang telah berlangsung sebelum ini adalah Kalimat di Balai Seni Negara dan Suara Rasa x Dendang Anak bertempat di PORT, Ipoh, Perak.

“Manifestasi Dua Seni dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi.

“Pendekatan ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan, malah turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya, demi memperkukuh warisan seni negara,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan