YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.
Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan meluangkan masa untuk santap bersama Anwar di sebuah restoran asam pedas terkenal di Johor Bahru.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, Anwar menerusi Facebooknya berkata, beliau mengadap Seri Paduka Baginda bagi menyembah maklum beberapa urusan terkait isu negara.
Beliau berkata, turut disembah maklum mengenai usaha kerajaan menangani permasalahan banjir di beberapa negeri selain menyentuh soal pembangunan ekonomi negara dan negeri.
“Usai sesi tersebut, saya mengiringi Baginda Tuanku untuk santapan tengah hari di restoran Asam Pedas Botak di Johor Bahru, sebelum berangkat pulang ke ibu negara,” katanya. – Edisi 9