25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Mats Deijl gagal lepasi syarat FIFA untuk sertai Harimau Malaya

Mesti Baca

PEMAIN kelab Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl gagal melepasi syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membolehkannya menjadi pemain warisan negara dan seterusnya menyertai skuad Harimau Malaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, ini kerana berdasarkan dokumentasi yang dilampirkan, pemain berusia 27 itu mempunyai darah keturunan Malaysia tetapi menerusi moyang dan bukan datuk atau neneknya seperti yang disyaratkan oleh FIFA.

FAM berkata, berdasarkan Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat iaitu:

Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu,” kata FAM dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Deijl telah menunjukkan minatnya untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

Justeru FAM berkata, pihaknya sejak dari 27 Jun lalu telah dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain tersebut bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk bermain bagi pasukan negara.

Advertisements

Hasil perbincangan, kata FAM, Deijl telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia.

Ini termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut.

“Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September lalu telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain),” kata FAM.

FIFA melalui surat bertarikh 25 September telah menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa: Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive.”

Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.

“FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan,” katanya.

Untuk makluman, FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan