ALKA System Sdn. Bhd. (Alka) mengambil langkah penting mempromosikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dengan menandatangani perjanjian (MoA) dengan Universal Cable (M) Berhad (UCMB).
Kerjasama itu bagi melaksanakan audit tenaga serta meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan keupayaan syarikat dalam usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga.
Majlis menandatangani MoA itu disempurnakan oleh Pengarah Alka, Ts Ir Mohd Ferdus Abdul Kadir dan Pengarah UCMB, Fadzil Ahmad di Johor Bahru, pada Khamis.
Hadir sama Pengawal Kewangan Alka, Md Fauzi Bahari dan Pengurus Akaun dan Kewangan UCMB, Teoh Maylin.
Pengurusan tenaga disimpulkan sebagai semua aktiviti untuk memastikan penggunaan tenaga yang efisien dalam syarikat dan ia diperlukan kerana pengaruhnya terhadap operasi dan aktiviti.
Manakala audit tenaga merupakan proses menganalisis penggunaan tenaga dalam syarikat untuk memastikan ia digunakan dengan efisien.
Ini dilakukan melalui penerapan sistem pengurusan tenaga bagi mencapai hasil yang diinginkan dan untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi penggunaan tenaga.
Ini merangkumi semua aspek tenaga, termasuk penglibatan manusia dan peralatan dalam operasi harian kemudahan tersebut.
“Audit tenaga di UCMB dijangka akan merealisasikan objektif-objektif di atas.
“Alka juga menghargai usaha UCMB dalam menjalankan audit tenaga dan audit alam sekitar yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian tenaga,” kata Mohd Ferdus dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan tersebut, kedua-dua syarikat komited untuk mencapai hasil yang lebih baik dalam pengurusan tenaga dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
“Perjanjian ini merupakan langkah pertama Alka untuk memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Langkah seterusnya bagi Alka adalah projek solar di Terengganu, yang akan dimulakan pada September 2024 sebagai fasa pertama daripada tiga fasa projek,” katanya.
Beliau berkata, Alka juga merancang untuk melaksanakan projek solar besar-besaran di beberapa provinsi di Indonesia selepas ini. – Edisi 9