25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

280,000 gagal SPM, lulus tanpa kredit perlu lebih dirisaukan

Mesti Baca

LEBIH 280,000 yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang hanya lulus tanpa kredit yang perlu dirisaukan berbanding soal kuota memasuki matrikulasi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana mereka yang gagal atau lulus tanpa kredit berkenaan tidak layak untuk memasuki matrikulasi.

“Itu tidak termasuk 10,160 yang tidak hadir SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 secara purata setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil SPM,” katanya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memberi jaminan kepada semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah untuk ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi bermula tahun ini.

Anwar berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan menggangu kuota pelajar bumiputera sedia ada.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri itu hanya jaminan yang memang sudah dilaksanakan sejak dahulu.

Beliau berkata, kuota bumiputera untuk masuk ke pusat-pusat matrikulasi tetap kekal terjamin.

Advertisements

Mengenai masalah mereka yang gagal SPM dan sekadar lulus tanpa kredit, beliau berkata, jawapan kepada permasalahan tersebut ialah pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Atas sebab itu, beliau berkata, Dasar TVET Negara diwujudkan dengan Majlis TVET Negara berperanan menyelaras 1,345 institusi itu.

Institusi tersebut terletak di bawah 12 kementerian yang menawarkan lebih 4,000 kemahiran TVET dalam pelbagai bidang dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

“MARA sendiri punya insitusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hinggalah UniKL.

“Hari ini Negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja,” katanya.

Malahan, jelas beliau, dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, pelajar boleh menyambung pelajaran ke peringkat diploma, manakala SKM tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua kapal dagang berlanggar, Maritim Malaysia aktifkan Carilamat

DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul...

Lagi Artikel Berkaitan