PENGELUARAN koko di negara ini dijangka meningkat tahun depan berikutan pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengagihan insentif penanaman koko dilaksanakan di Sarawak di tanah seluas 512 hektar dengan peruntukan projek di negeri itu yang berjumlah RM2.5 juta.
Katanya, input dan peralatan pertanian, anak benih koko bercantum dan insentif pokok pelindung serta pembersihan kawasan adalah merupakan antara bentuk insentif yang bakal diagihkan menerusi program tersebut.
“Jumlah keluasan kawasan tanaman koko negara adalah 5,985 hektar dengan 24 peratus daripadanya diwakili Sarawak yang meliputi keluasan 1,454 hektar.
“Dalam tempoh Januari-September lalu, jumlah pengeluaran biji koko negara mencatat jumlah sebanyak 168,000 kilogram bersamaan 168 tan metrik.
“Kementerian menerusi LKM yakin pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko pada tahun hadapan dijangka dapat mempertingkat hasil pengeluaran biji koko seterusnya merancakkan penjanaan ekonomi dalam sektor agrikomoditi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fadillah bertemu pengusaha tanaman koko di Kampung Serpan Laut, Asajaya, Sarawak semasa Program Trek Komoditi 2023 (Zon Sarawak) anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Dalam sesi pertemuan itu, Fadillah menyempurnakan sesi penyerahan borang permohonan menyertai Program Pemulihan Kebun Koko daripada penanam koko setempat di kawasan Asajaya. – Edisi 9