KERAJAAN Negeri Johor hari ini menerima peruntukan berjumlah RM30.87 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mempertingkatkan agromakanan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM17.87 juta diperuntukkan bagi membiayaan sembilan projek di bawah pembangunan negeri (RP4) bagi tahun 2024.
Pada masa yang sama, beliau berkata, RM10 juta lagi adalah peruntukan khas bagi pelaksanaan inisiatif projek jaminan bekalan makanan negeri sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.
Manakala RM3 juta lagi adalah bagi program peningkatan produktiviti sawah padi di negeri tersebut.
“Kerajaan negeri ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatian Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan beberapa peruntukan menerusi hasil perbincangan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd.
Onn Hafiz berkata, negeri Johor terus komited untuk menjadi penyumbang utama sektor pertanian dan agromakanan negara.
Katanya, pada tahun 2022 hasil pertanian negeri itu menyumbang sebanyak 17.5 peratus atau RM101.3 bilion bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). – Edisi 9