PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa rangkaian bantuan kemanusiaan kepada lebih dua juta rakyat di Gaza berisiko lumpuh.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, ini susulan serangan dan pengeboman yang dilihat seakan tiada titik noktahnya malah kekerapannya semakin bertambah.
“Apabila insiden pengeboman semakin kerap, keperluan menjadi semakin kritikal.
“Memandangkan situasi semakin terdesak, PBB tidak akan dapat meneruskan penghantaran bantuan di Gaza tanpa perubahan terhadap kaedah bantuan yang disalurkan,” katanya menerusi kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
Menurut PBB, sebelum konflik terbaharu itu, kira-kira 500 trak membawa bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza setiap hari namun kini purata hanya 12 trak sehari.
Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan bahawa 53 anggotanya terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
UNRWA juga memberi amaran mungkin tidak dapat meneruskan bantuan kemanusiaan melainkan penghantaran bahan api dibenarkan memasuki Gaza, memandangkan bekalan sedia ada hampir kehabisan.
“Penduduk Gaza semakin derita. Tanpa perubahan dasar penduduk akan menghadapi gelombang penderitaan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Setiap daripada kita mesti memikul tanggungjawab masing-masing,” kata Guterres. – Edisi 9