
DALAM bahasa Inggeris, Strategi Lautan Biru disebut sebagai Blue Ocean Strategy yang membawa makna persaingan yang dibuat dengan meningkatkan kualiti produk, perkhidmatan, dan sebagainya mengatasi apa yang boleh ditawarkan oleh lawan.
Strategi Lautan Biru ialah kerangka perniagaan yang dibangun oleh W. Chan Kim dan Renée Mauborgne.
Mereka mengemukakan konsep ini melalui sebuah buku yang bertajuk, Blue Ocean Strategy: How to Create Uncontested Market Space and Make the Competition Irrelevant yang diterbitkan pada tahun 2005.
Strategi ini menumpukan kepada mencipta pasaran dan segmen baharu. Persaingan dibuat dengan menginovasikan atau menawarkan sebuah cadangan yang unik kepada pelanggan.
Sebagai contoh mudah, jika kita anggap sebuah perniagaan itu sama dengan lampu dengan keterangan 60 watts, perniagaan kita mestilah mampu menghasilkan sebuah perniagaan yang keterangannya sama nilai dengan lampu 100 watts.
Dulu dalam persaingan perniagaan, biasa orang akan mematikan persaingnya dengan berbagai cara tetapi cara Lautan Biru ialah dengan meningkatkan relevensi perniagaan mereka dengan mengatasi perniagaan yang lain.
Strategi Lautan Biru banyak digunakan dalam bidang ekonomi, pemasaran produk dan lain-lain tetapi dalam tulisan ini ditumpukan kepada hal-hal bagi mendapatkan dan mempertahankan kuasa (contoh: politik, kekuasaan, pentadbiran atau tatakelola, sosial dan lain-lain).
Kita faham jika berlawan dengan orang yang kurang cerdik (bukan bodoh), atau terlalu emosional kita perlu menggunakan cara atau strategi yang mereka tidak perasan (aware) iaitu dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan, kualiti pentadbiran dan kualiti ilmu serta kefahaman baik dalam bidang ekonomi, pentadbiran, kesantunan kepada rakyat dan sebagainya.
Dalam kata yang lebih mudah ialah tingkatkan kualiti dalam semua hal mengatasi lawan. Apakah itu lawan politik, lawan ekonomi atau lawan-lawan lain yang sengaja dicipta.
Dalam ekonomi mereka yang menggunakan Strategi Lautan Biru ialah AirAsia, Netflix, Apple dan lain-lain.
Ada juga yang disebut sebagai Strategi Lautan Merah yang membawa makna mengambil kesempatan maksimum terhadap kehendak (demand) pengguna, sementara Strategi Lautan Biru ialah mencipta kehendak baharu yang sebelum ini belum ada atau memperbaiki kehendak baharu dalam pasaran.
Dalam kedua-dua hal, konsep penawaran dan kehendak (supply and demand) masih digunapakai.
Ada empat kerangka (framework) dan tindakan yang perlu dibuat dalam Strategi Lautan Biru iaitu hapus-kurangkan-angkat-cipta (eliminate-reduce-raise-create).
Dua alat analitik ini (kerangka dan tindakan) perlu diselaraskan bagi mendapatkan perbezaan dan kos yang rendah bagi memperoleh inovasi harga (value innovation) terhadap sesuatu perkhidmatan.
Contohnya, AirAsia dengan cogankata, Everybody Can Fly membawa makna menyediakan tambang dan penginapan murah (tambang serendah RM0.0 dan penginapan serendah RM9.99).
Strategi ini boleh digunakan oleh mana-mana pihak yang memerlukannya dan tidak memihak kepada sesiapa pun.
Mereka yang menukar masalah (kesukaran) kepada peluang sangat relevan dengan konsep ini. Mereka mesti selalu menjawab soalan apa (what), kenapa (why), bila (when), bagaimana (how).
Misalnya, kenapa sokongan terhadap sesebuah parti itu merosot, bagaimana meningkatkan semula sokongan, bila sesuatu tindakan mesti dibuat dan berbagai soalan lagi agar dapat dicipta kehendak-kehendak baharu.
Semoga kita bersaing dengan cara yang sihat dengan tujuan memakmurkan negara.
Penulis adalah bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).