LAMA berdiam diri, kumpulan anak muda yang menggelar diri mereka Johny Comes Lately (JCL) tampil dengan album kedua berjudul Di Simpang Tiga.
JCL adalah sebuah kumpulan ska punk yang telah bertapak dalam arena muzik mandiri tempatan sejak tahun 2009 dan telah tampil di pelbagai festival, persembahan, dan siaran langsung sepanjang kerjaya muzik mereka.
Kumpulan yang terkenal dengan kepulan tenaga semangat punk rock, dialun seksyen brass yang merdu, beserta irama reggae dan ska yang menghentak terbukti di semua persembahan langsung mereka itu belum pernah lagi mengecewakan peminat.
Pada November 2019, mereka kehilangan sosok penting yang juga pemain gitar utama dan antara pengasas kumpulan, Allahyarham Aizat Azuan Hamidon, akibat masalah jantung, menyebabkan JCL berdiam diri untuk beberapa ketika bagi pemulihan dengan menulis album baharu.
Kini, JCL sedia untuk mempromosikan album kedua mereka, Di Simpang Tiga, yang memuatkan 10 lagu beradun kritikan sosio-politik, kisah-kisah lucu dan pesanan positif yang akan membuktikan kebolehan JCL dalam meneroka sisi kreatif yang baru dan melukis batas baharu bunyian ska Malaysia.
Mewakili teman-teman Ebi berkata, perjalanan mereka untuk menyiapkan album ini sangat mencabar dan tidak mudah.
“Kami melalui tempoh sukar apabila kehilangan seseorang yang begitu disayangi dan mempunyai pengaruh besar terhadap bunyi dan hala tuju kumpulan.
“Kami sedang dalam proses menyiapkan lagu-lagu ketika kami menerima berita sedih itu dan ia benar-benar meninggalkan kesan besar dalam diri kami, hingga ke tahap kami hampir membubarkan JCL.
“Kami memerlukan masa untuk pulih, mencari ahli kumpulan yang baru, bermula semula dan mencari keserasian bermain dan menulis bersama lagi dan kami sentiasa bersyukur atas usaha ini.
Seluruh perjalanan kami untuk mendaki semula dan membuat keputusan sukar semasa proses penciptaan album ini membawa kepada penghasilan nama album ini iaitu Di Simpang Tiga,” katanya.
Terdahulu, sejak menerbitkan EP pertama swanama pada tahun 2009, JCL telah membina kelompok pengikut setia dalam kalangan peminat ska punk di Malaysia.
Kemudian kumpulan ini menerbitkan album sulung Ke Mana Kita? (2016) dan beberapa single termasuk Kaya (2016) dan Fuyyo/Gundah (2017) yang dikeluarkan dalam perlbagai format edaran seperti CD, kaset, Vinyl 7 inci dan digital. -Edisi 9