PENGARUH Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas semakin merosot sehingga terpaksa tunduk kepada Pengerusi Gerakan Tahan Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, ia dapat dilihat apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan kekayaannya seperti desakan dibuat Dr Mahathir sebelum ini.
“Perkembangan terkini melihatkan sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Mahathir. Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan BERSATU pula mendokong kenyataan beliau.
Jelas bahawa pengaruh PAS dan BERSATU dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir.
“Amat pelik juga pimpinan ulung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun diketepikan. Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut terpinggir untuk memberikan ruang kepada Mahathir.
“Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi “Ketua Umum” kepada PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Chean Chung memaklumkan Anwar pernah membuat pengisytiharan harta pada 9 November tahun lalu dan cabaran Dr.Mahathir tidak perlu dilayan perdana menteri.
Tambahnya, PKR sentiasa telus dengan mewajibkan semua calon-calon Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tahun lalu untuk mengisytiharkan harta masing-masing sebelum diangkat sebagai calon.
“Malangnya, walaupun BERSATU/PAS sering kali melabelkan diri sebagai blok yang bersih dan beramanah, langkah-langkah membina budaya politik yang sihat dan telus ini tidak diamalkan.
“Malah, Presiden BERSATU kini berhadapan dengan isu akaun parti yang dilambakkan dengan duit semasa negara berhadapan dengan krisis COVID19 dan kini perlu menjawab di mahkamah,” jelasnya. – Edisi 9