25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kalimah Allah: Tindakan KDN tidak cermin roh madani

PAS Kelantan bimbang tindakan tergesa-gesa KDN tersebut dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia Madani menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang kes kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan sebutan solat dalam penerbitan agama Kristian pada Isnin lalu dianggap tidak mencerminkan roh madani.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sepatutnya sebelum pihak Menteri KDN memfailkan Notis Pemberhentian rayuan pada 18 April 2023 terlebih dahulu perlu mengadakan libat urus dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

“Ini kerana kedua-dua agensi terbabit diberi hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat Mahkamah dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, kata beliau, KDN juga sepatutnya konsultasi dengan semua pemegang taruh terutamanya pihak intitusi diraja, yakni Tuanku Al-Sultan selaku Ketua Agama Islam di Negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, PAS Kelantan bimbang tindakan tergesa-gesa KDN tersebut dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik kerajaan campuran Madani sekarang.

Advertisements

“PAS Kelantan juga memohon ampun perkenan pihak istana, mencadangkan kepada Kerajaan Madani khususnya KDN agar bertindak lebih rasional dalam isu tersebut demi mempertahankan hak agama Islam terutamanya penggunaan kalimah Allah yang tidak perlu dikongsi dengan agama lain,”katanya.

Semalam, kerajaan dan KDN mengesahkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Dalam sidang media semalam juga, Saifuddin memaklumkan keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia adalah disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan