28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

BNM umum OPR naik 3 peratus

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik COVID-19 iaitu pada 7 Mei 2019.

BNM turut memaklumkan kebanyakan bank pusat mengekalkan dasar kewangan yang ketat.

Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.

“Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi,” memetik kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, BNM memaklumkan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Pada tahap OPR semasa, maklum BNM, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Malah, MPC juga katanya, akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sementara itu, mengulas berkenaan kadar inflasi ketika ini, bank pusat itu berkata inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.

“Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh.

“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat,”memetik kenyataan itu.

Malah, BNM turut mengakui, imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global.- BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan