25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Anwar masukkan kehadiran dalam kes saman Tun M

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan kehadiran dalam kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya yang menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lepas.

Memorandum kehadiran itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Thomas Philip yang mewakili Anwar selaku defendan pada 16 Mei.

Peguam, Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Anwar ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 31 Mei ini secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Jamhirah Ali.

Pada 3 Mei, Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, mendakwa pada 18 Mac lepas, Anwar memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

Menurut Dr. Mahathir antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.

Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan kesemua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai. – BERNAMA

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan