30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

RM11 bilion wang tak dituntut rakyat – Ahmad Maslan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan masih terdapat kira-kira RM11 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) masih belum dituntut setakat bulan lalu.

Ujar beliau, jumlah itu selepas ditolak kira-kira RM3.2 bilion bayaran balik kepada empunya seperti akaun simpanan, insurans dan deposit daripada kira-kira RM14.1 bilion diterima Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam tempoh kira-kira 46 tahun.

Mennurutnya, JANM telah menerima serahan WTD selaras dengan Seksyen 8 Akta Wang Tak Dituntut (Akta 370) daripada syarikat atau firma berjumlah kira-kira RM14.1 bilion dari 1977 sehingga bulan lalu.

“Sebahagian besar daripada RM11 bilion WTD itu dilaburkan kerajaan dalam simpanan tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957 dan faedah yang diperoleh daripada simpanan tetap itu diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan.

“Daripada simpanan tetap itu, katanya, nilai faedah yang diperoleh ialah kira-kira RM250 juta yang digunakan untuk manfaat rakyat,” katanya sempena lawatan ke JANM di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, WTD ditakrifkan sebagai wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya, tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa lebih setahun dan wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan empunya dengan apa cara sekali pun dalam satu tempoh lebih tujuh tahun.

Ia juga ditakrifkan sebagai wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa lebih dua tahun.

Pemilik WTD diminta menuntut wang masing-masing dengan mengemukakan permohonan melalui portal eGUMIS, kaunter JANM di seluruh negara atau melalui mel yang dihantar terus ke pejabat WTD Putrajaya.

Sementara itu, Ahmad berkata, portal eGUMIS yang dilancarkan pada 2020 menerima kira-kira 17.2 juta pelawat setakat bulan lalu dengan bilangan pengguna berdaftar hampir 4.4 juta pengguna.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 354,912 permohonan tuntutan WTD dalam talian telah diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak RM199 juta amaun tuntutan WTD telah diproses,” katanya.

Beliau berkata, JANM sedang membangunkan aplikasi mudah alih eGUMIS Mobile yang dijangka boleh mula digunakan pada suku keempat tahun ini.

Menurutnya, kerajaan juga berhasrat meminda Akta 370, antaranya pindaan tempoh pindahan ke Akaun Hasil Disatukan dari 15 tahun sedia ada kepada 10 tahun serta takrifan semula WTD menurut Seksyen 8(a) dan 8(c) Akta 370.

Selain itu, amaun denda dikenakan pada syarikat atau firma bagi ketidakpatuhan serta pemansuhan keperluan warta dalam menyampaikan maklumat WTD.

“Akta ini terlalu lama tak dipinda maka kita cadangkan untuk dipinda,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan menjangka dapat membentangkan pindaan akta berkenaan pada hujung tahun ini.

Ahmad berkata, pindaan itu bertujuan memastikan kelancaran operasi pengurusan WTD supaya lebih cekap dan efisien serta dapat meningkatkan pematuhan syarikat atau firma terhadap akta itu.

“Rang undang-undang ini sedang kita sediakan, dapatkan ulasan dan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai tujuan pindaan akta ini. Kita jangkakan jika sempat untuk bentangkan ke Parlimen pada akhir tahun ini,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan