SEORANG anggota polis putus hujung jari manis selepas digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ketua Polis Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku pada jam 10.15 malam, ketika beberapa anggota polis sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.
Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke dalam perkarangan balai polis.
“Malah, suspek juga membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Zam Halim lagi, berlaku pergelutan antara suspek bersama anggota polis berkenaan ketika mereka cuba membuat tangkapan.
“Suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari.
“Suspek yang turut mengalami kecederaan ringan kemudian berjaya ditahan. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan,” katanya.
Menurutnya, hasil saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin dan difahamkan suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-EDISI9