PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan elaun bulanan khas kepada Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan elaun khas itu diberikan Anwar yang juga Menteri Kewangan semalam.
“Sewaktu Sambutan Ulangtahun ke-48 Unit Tindakhas pada 1 Januari lalu, saya nyatakan komitmen antaranya untuk memastikan kebajikan anggota UTK terjaga.
“Alhamdulillah, semalam YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan kelulusan elaun bulanan khas kepada anggota UTK.
“Moga berita baik di bulan Ramadan ini akan meningkatkan lagi motivasi anggota UTK dalam menabur bakti kepada negara, Insya-Allah,” katanya di hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dan Timbalan KPN, Tan Sri Razarudin Husain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan para pegawai dan operatif Unit Tindakhas (UTK) PDRM dengan meluluskan elaun bulanan khas buat mereka.
“Semoga dengan kelulusan tersebut memberi suntikan semangat untuk para pegawai dan operatif UTK terus menabur bakti menjaga keamanan serta keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook. – Edisi 9