LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil langkah bagi meminimakan kesan peningkatan trafik sempena perayaan Aidilfitri.
LLM menerusi kenyataan berkata, ini kerana trafik dijangka meningkat kepada 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Untuk itu katanya, syarikat konsesi diarahkan menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong bermula 18 April hingga 7 Mei 2023.
“Syarikat konsesi diarah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), menggunakan papan tanda elektronik (VMS) bagi memaparkan maklumat trafik serta peringatan tentang baki nilai Touch ‘n Go’/ e-Wallet.
“Mereka juga diminta menempatkan petugas di plaza-plaza tol, memastikan semua sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar, penggunaan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya Utara Selatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM);
“Selain itu, syarikat konsesi perlu menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) secukupnya dan menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, LLM berkata, bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma pada 19 hingga 21 dan 24 April, pengguna dingatkan supaya memastikan penggunaaan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG disentuh bersama-sama kad Touch ‘n Go di plaza tol.
Ujarnya, pengguna RFID perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID.
“Tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada kad dan e-Wallet Touch ‘n Go.
“Pengguna lebuh raya juga akan menikmati tol percuma ketika melalui plaza tol atau plaza tolkeluar bagi lebuh raya yang beroperasi secara sistem tol tertutup sepanjang tempoh yangditetapkan,” ujarnya. – Edisi 9