LAGENDA Chelsea, Frank Lampard dilaporkan bakal diumumkan sebagai pengurus interim Chelsea dalam masa terdekat sehingga akhir musim ini.
Lampard yang dipecat Everton Januari lalu dilihat hadir ke Stamford Bridge menyaksikan perlawanan antara Chelsea dan Liverpool Selasa lalu sekali gus mencetuskan tanda tanya.
Difahamkan perbincangan bersama Lampard kini sudah selesai dan pemegang rekod penjaring terbanyak kelab itu dijangka akan mengendalikan Chelsea ketika bertandang ke Molineux bertemu Wolves minggu ini.
Chelsea ketika ini dikendalikan sementara orang kanan Graham Potter, Bruno Saltor.
Pengurus berusia 44 tahun ini pernah mengendalikan Chelsea antara Julai 2019 hingga Januari 2021 sebelum digantikan Thomas Thucel yang pada musim itu menjuarai Liga Juara Juara Eropah bersama The Blues.
Sementara itu, pelantikan sementara Lampard dibuat bagi memberi lebih masa kepada lembaga pengarah kelab untuk mencari pengurus baharu.
Beberapa nama dikaitkan untuk mengisi kerusi yang ditinggalkan Potter termasuk bekas pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann.
Selain itu, Luis Enrique yang banyak menempa kejayaan ketika bersama Barcelona dilaporkan tiba di London malam tadi bagi mengadakan pertemuan dengan ahli lembaga pengarah kelab untuk menjelaskan misi dan visinya.
Bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino dan pengurus Sporting Lisbon antara nama yang disebut-sebut namun Zinadine Zidane turut mengintai peluang menguruskan kelab berkenaan. – Edisi 9