BEKAS Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa UMNO sudah gugur daripada perjuangan asalnya.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, parti UMNO tidak ada lagi.
“Apa yang ada ialah ‘bangkai’ yang diperalat untuk menyelamat pemimpin yang bergelumang dengan jenayah.
“Apakah UMNO sudah diperalat oleh pemimpin yang durjana, yang menjadi UMNO alat untuk kepentingan pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr. Mahathir melontar perkara itu mengulas antara ketetapan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kebimbangan parti itu sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular.
Justeru, parti itu menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.
Katanya, keputusan MKT itu bertentangan dengan Perlembagaan UMNO Perkara 3.3 yang menyebut UMNO parti membela kepentingan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli termasuk perkara dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi sekarang orang Melayu yang rancang melancarkan proklamasi masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pun tidak dibenar.
“Proklamasi yang tidak sentuh kaum lain dianggap rasis.
“Jika orang Melayu tidak dibenar bincang masalah orang Melayu dan tidak boleh sentuh kaum lain, tidak pun boleh bincang akan ajaran agama Islam, maka akan terhapuslah kebebasan bersuara oleh orang Melayu.
“Apakah ini perjuangan UMNO. Apakah ini UMNO,” soal beliau.
Justeru, beliau mengajak orang UMNO sedar bahawa parti itu sudah gugur perjuangan asalnya. – Edisi 9