SEBANYAK 12 lorong tambahan Frekuensi Radio (RFID) telah mula beroperasi di beberapa plaza tol PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sejak 11 Mac lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tambahan lorong RFID berkenaan adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di lorong RFID yang telah banyak menimbulkan rungutan di kalangan pengguna.
“Berdasarkan perancangan asal, penambahan lorong RFID ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap pertengahan April ini.
“Namun, berita baik untuk semua pengguna lebuhraya PLUS.
“Saya sebagai Menteri Kerja Raya ingin mengumumkan bahawa kerja-kerja menambah lorong RFID di Lebuhraya Utara-Selatan kini sudah selesai,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, pada ketika ini, sebanyak 12 lorong tambahan RFID telah mula beroperasi sejak 11 Mac lalu.
“Ia membabitkan di Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS kerana telah menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini.
“Pada masa yang sama, saya berharap agar pengguna juga turut mengamalkan kaedah penggunaan RFID yang betul,” katanya.
Alexander turut memberi jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.
“Namun saya juga mengharapkan kerjasama daripada pengguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan Lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol.
“Dalam masa sama, pengguna perlu memastikan baki eWallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” katanya. – Edisi 9