26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

RM2.58 bilion bantuan RMT sejak 2014 – Fadhlina

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEJUMLAH RM2.58 bilion peruntukan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah disalurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi semua murid sekolah rendah termasuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) bermula tahun 2014 sehingga kini.

Menteri, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga meneruskan Program Susu Sekolah (PSS) yang dilaksanakan serentak dengan RMT.

“PSS bertujuan meningkatkan taraf kesihatan dan pemakanan murid sekolah rendah dengan memastikan pengambilan nutrisi yang seimbang bagi membantu pertumbuhan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan umum murid bertambah baik,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Pertanyaan Lisan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Negara hari ini.

Ras Adiba meminta Menteri menyatakan apakah komiten Kementerian dalam
mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan murid keperluan
khas (MBK) serta apakah jumlah yang telah dibelanjakan bagi Rancangan
Makanan Tambahan bagi MBK sejak 2012-2022.

Fadhlina berkata, KPM amat prihatin kepada hal-hal kebajikan MBPK terutamanya dalam memastikan murid-murid ini menerima makanan yang bernutrisi.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, berdasarkan ketetapan dalam Surat Pekeliling Kewangan BT19 Rancangan Makanan Tambahan di Sekolah Rendah, semua murid MBPK di sekolah rendah yang memegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengira status pendapatan keluarga adalah layak menerima bantuan RMT di samping sekotak susu bagi setiap hari persekolahan kecuali mereka yang tinggal di asrama KPM.

Kata beliau, mulai 6 November 2022, KPM telah menaikkan kadar RMT bagi seorang murid daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung Malaysia, manakala RM3.00 kepada RM4.00 bagi sekolah di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Langkah menaikkan kadar RMT ini membolehkan kontraktor pembekal makanan RMT menyediakan makanan yang berkualiti dan bernutrisi selaras dengan kos harga bekalan mentah semasa.

Selain daripada itu, katanya, KPM juga menyediakan kemudahan asrama di
25 buah sekolah pendidikan khas.

“Semua MBPK di asrama menerima makanan secara percuma mengikut jadual yang telah ditetapkan melalui kontrak Bekalan Makanan Bermasak antara pembekal dan pihak sekolah.

“Menu yang dihidangkan mengambil kira keperluan nutrisi murid tersebut mengikut umur dan tumbesaran mereka,”katanya.

Ujar beliau, KPM yakin semua usaha yang dilaksanakan akan memberi kesan baik kepada MBPK bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan yang sihat. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan