28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PM harap China kekal rakan dagang terbesar negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi beliau ke China selama empat hari bermula hari ini hingga 1 April nanti.

Ujar Anwar, lawatan berkenaan cukup bermakna bukan sahaja bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik Putrajaya-Beijing yang terjalin sejak 1974 malah, amat besar harapan agar China kekal sebagai antara rakan dagang terbesar negara.

“Di Hainan, saya juga dijadual akan menghadiri serta menyampaikan ucaptama di Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023),” katanya hari ini.

Anwar tiba di Lapangan Terbang Qionghai Bo’ao, Hainan dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang antarabangsa Boao pada pukul 5.29 petang (waktu tempatan sama dengan waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Naib Gabenor Hainan, Chen Huaiyu; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin; Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Konsulat Jeneral Malaysia ke Guangzhou, Suraya Ahmad Pauzi.

Delegasi Perdana Menteri turut disertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam lawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping yang baru sahaja dilantik semula sebagai Presiden China bagi penggal ketiga.

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu-isu strategik dalam hubungan dua hala. Ini termasuk hala tuju bagi mengukuhkan lagi hubungan ketika pasca-wabak Covid-19 dengan mengambil kira persekitaran antarabangsa yang mencabar.

“Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat, Zhao Leji, Pengerusi Kongres Kebangsaan Rakyat. Mesyuarat ini akan membincangkan usaha mengukuhkan peranan dan hubungan antara parlimen kedua-dua negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat beliau, Li Qiang.

“Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan pelbagai bidang kerjasama dua hala dan pragmatik yang merangkumi perdagangan dan pelaburan, teknologi tinggi, ekonomi digital, pengajian tinggi, pemulihan pasca pandemik dan keterjaminan makanan.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Bahkan, kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) antara Malaysia dan RRC dalam bidang pertanian dan perdagangan.

“Selain itu, Perdana Menteri dijadualkan untuk menyampaikan syarahan di Universiti Tsinghua di Beijing.

“Di Hainan, Perdana Menteri akan menghadiri Persidangan Tahunan Forum Boao Bagi Asia (BFA) 2023 dan menyampaikan ucapan pada Pembukaan Pleno yang bertemakan An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development Amid Challenges.

Ujar kenyataan itu lagi, Perdana Menteri akan turut mengadakan sesi libat urus bersama diaspora Malaysia dan ahli perniagaan di Beijing dan Hainan.

“Lawatan ini adalah merupakan lawatan bersejarah kerana ia adalah Lawatan Rasmi pertama Perdana Menteri ke China sebagai ketua Kerajaan Perpaduan.

“Malah Perdana Menteri adalah merupakan antara pemimpin pertama yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Li Qiang selepas dilantik sebagai Perdana Menteri dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi yang telah dilantik semula sebagai Presiden.

Jelas Wisma Putra, lawatan berkenaan dijangka akan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan kemasukan lebih banyak pelaburan ke Malaysia

“Lawatan Perdana Menteri ke China juga adalah bersempena sambutan Ulang Tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China.

“Pencapaian yang signifikan ini merupakan bukti terhadap hubungan dua hala yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara, berteraskan sikap saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama.

Untuk rekod, sejak tahun 2009, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion (USD110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun 2021.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan