32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Penjelasan Zambry berhubung lawatan PM ke Arab Saudi

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) menyifatkan isu yang dimainkan beberapa pihak berhubung lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi sekadar spekulasi yang jauh menyimpang daripada fakta sebenar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan sedemikian jelas tidak adil kepada kementerian itu, Kerajaan Malaysia dan juga Kerajaan Arab Saudi.

Sehubungan ini, KLN ingin menjelaskan perkara-perkara berikut:

Persiapan Bagi Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

KLN telah membuat persiapan-persiapan awal bagi Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi. Ini meliputi beberapa siri perbincangan antara KLN dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, termasuk pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi di KLN setelah mendapat cadangan tarikh lawatan.

Menteri Luar Negeri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Arab Saudi semasa lawatan beliau ke Riyadh pada 19 – 22 Februari 2023. Perbincangan dengan rakan sejawatannya menyentuh secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil-hasil lawatan.

Sementara itu, perbincangan juga turut diadakan di antara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi serta beberapa pihak lain yang berkenaan di negara tersebut ke arah menentukan supaya Lawatan Rasmi Perdana Menteri diadakan dengan jayanya.

Perbincangan-perbincangan tersebut telah menyerlahkan kesediaan di pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menerima dan menentukan supaya Lawatan Rasmi Perdana Menteri berjaya diadakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Penetapan Masa Bagi Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

Cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu di pihak Arab Saudi. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan yang telah diadakan di atas. KLN turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin-pemimpin asing dalam bulan Ramadan.

Sebelum ini, pihak Kementerian Luar Negeri Arab Saudi pernah membuat cadangan balas kepada tarikh lawatan seorang pemimpin Malaysia dalam bulan Ramadan.

Komunikasi Rasmi Pengesahan Lawatan Rasmi Perdana Menteri

KLN telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac 2023 yang mengesahkan tarikh Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi. Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut merujuk kepada Lawatan Rasmi Perdana Menteri pada 22 – 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.

Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

KLN ingin menjelaskan bahawa Nota Diplomatik adalah merupakan antara komunikasi paling rasmi antara Kerajaan dengan Kerajaan.

Perjalanan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

Secara keseluruhannya, program-program Lawatan Rasmi Perdana Menteri telah berjalan dengan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac 2023.

Advertisements

Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi.

Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Mekah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri. Kemudahan-kemudahan tersebut juga turut disediakan semasa ziarah di Madinah.

Delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan. Ini termasuk Majlis Iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023.

Hasil Lawatan Rasmi Perdana Menteri

Lawatan Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL) dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB).

Semasa di IsDB, Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama dalam satu majlis yang dihadiri seramai lebih 300 orang tetamu termasuk Presiden pertama IsDB serta tokoh-tokoh ilmuan dan pakar-pakar ekonomi dan kewangan.

Perdana Menteri turut mengadakan sesi meja bulat perniagaan bersama 20 orang ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi serta wakilwakil komuniti perniagaan Malaysia. Semasa sesi tersebut, Perdana Menteri telah menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman / kerjasama di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Arab Saudi seperti berikut:-

Joint Venture Agreement antara Dagang Nexchange Bhd. dan Ajlan & Bros Holding Group Co. Usahasama ini melibatkan kerjasama bagi pengeluaran cip untuk semikonduktor termasuk
pembukaan kilang di Negeri Sembilan;

Memorandum Persetujuan (MoA) antara Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co. Ia melibatkan aspek latihan kepada jemaah haji di seluruh dunia; dan

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Qhub International Sdn. Bhd. dan Eromman Technologies berkenaan produk kelengkapan rumah.

Perdana Menteri juga turut menghadiri sesi-sesi perjumpaan dan iftar bersama rakyat Malaysia di Jeddah dan juga di Madinah.

Kesimpulan

KLN telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara sepertimana yang dilaksanakan bagi lawatan-lawatan yang telah diadakan sebelum ini dan juga lawatan terkini iaitu Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023 yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya.


Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Malaysia sentiasa menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik. Dalam konteks ini, KLN menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan