28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ahli Dewan Rakyat wajib periksa kesihatan setahun sekali

Mesti Baca

AHLI Dewan Rakyat sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bermula pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jawatankuasa mencadangkan pemeriksaan kesihatan diadakan sekali setahun, ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan. Saya sendiri akan tampil dengan rakan-rakan jemaah menteri menawarkan diri bagi pemeriksaan kesihatan.

“Hal ini setelah mengambil kira fakta bahawa seramai sembilan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sedang berkhidmat, meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020, disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti komplikasi buah pinggang dan serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. 

Ahmad Zahid berkata, ahli Dewan Negara juga mungkin dipertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Kita bukan mendahului hukum Allah dalam perkara ini tapi sebagaimana saya maklumkan sebelum itu, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan turut dicadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dalam mesyuarat berkenaan. – BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan