KELAB gergasi Jerman, Bayern Munich dilaporkan telah memecat pengurus, Julian Nagelsmann hari ini.
Menurut wartawan sukan, Fabrizio Romano, keputusan itu dibuat berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi kurang memberangsangkan dicatat kelab Bavaria itu musim ini.
Katanya, tempat Nagelsmann akan digantikan bekas pengendali Chelsea, Thomas Tuchel yang dipecat kelab ibu kota London itu pada awal musim ini.
“Segalanya selesai dan sah Tuchel akan menjadi pengurus baharu Bayern.
“Kontrak sehingga Jun 2025, perjanjian telah dipersetujui, seperti yang disebutkan sebelum ini, Tuchel merupakan calon utama untuk jawatan itu,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan daripada kelab mengenai pemecatan Nagelsmann dan pelantikan Tuchel.
Di bawah pengurus muda berusia 35 tahun itu, Bayern berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara Juara Eropah dan kini berada di kedudukan kedua liga, hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu, Borussia Dortmund.
Nagelsmann mencatat 60 kemenangan daripada 84 perlawanan (71.5 peratus) sejak mengambil-alih kelab pada Julai 2021.
Di bawah Nagelsmann, Bayern sekadar memenangi trofi Bundesliga sekali dan dua kejuaraan Piala Super Jerman. – Edisi 9