DOKTOR-DOKTOR kontrak yang merancang untuk melakukan mogok dinasihatkan agar mempertimbang dan meneliti tindakan tersebut.
Ini kerana, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sektor kesihatan merupakan perkhidmatan yang kritikal kerana melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.
Malahan, tegas beliau, mogok juga bukan jalan penyelesaian terbaik untuk apa juga permasalahan yang timbul berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.
“Kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respon atau bertindak terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.
“Saya percaya, kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas hebahan mengenai penganjuran mogok oleh doktor-doktor kontrak yang dirancang dilakukan di seluruh negara pada 3 hingga 5 April ini sepertimana disebar menerusi Instagram.
Pada masa yang sama hebahan melalui media sosial itu juga menggalakkan mereka yang mahu berhenti agar berbuat demikian secara serentak pada 1 April.
Dr Noor Hisham berkata, antara langkah yang telah diambil kerajaan bagi menangani permasalah sektor tersebut antaranya mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.
Katanya, skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik.
Malahan, jelas beliau, perkhidmatan kesihatan dilihat terus diberi keutamaan yang sewajarnya oleh kerajaan sebagaimana yang dapat kita perhatikan melalui Belanjawan 2023. – Edisi 9