24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lawatan PM ke Arab Saudi : Apa isu yang dikecohnya?

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff menempelak isu yang cuba dikecohkan pihak pembangkang berikutan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

Kata beliau, pulang sahaja kelmarin, pihak pembangkang membangkitkan tiga isu untuk menunjukkan lawatan Perdana Menteri dan delegasinya ke Arab Saudi gagal.

“Tiga isu tersebut ialah Perdana Menteri disambut oleh gabenor Jeddah sahaja, kedua, tidak dibawa masuk Kaabah; ketiga, tiada pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud serta Putera Mahkota Mohammad Salman.

“Bagi menyedapkan lagi cerita, mereka membandingkan kejayaan lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY). Kata mereka, semasa TSMY melawat Saudi, beliau dan rombongannya disambut oleh Raja Salman.

“Realitinya ialah TSMY mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi hanya setelah setahun menjadi Perdana Menteri. Hasrat TSMY untuk bertemu Raja Salman secara bersemuka pada Mac 2021 gagal apabila bertemu secara dalam talian sahaja.

“Tetapi kerana perbezaan (atau mungkin dendam) politik, lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim digambarkan sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa begitu kecil jiwa kita menilai kejayaan atau kegagalan lawatan Perdana Menteri ke Saudi?

“Tidakkah boleh kita melihat kejayaan Perdana Menteri dalam tempoh hanya tiga hari lawatannya ke Saudi di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Makkah.

“Dalam lawatan itu, turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.

“Perdana Menteri juga mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana di samping membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama.

“Tidak berjaya lagikah lawatan Perdana Menteri dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh tiga hari lawatannya ke Saudi? Jika tidak berjaya lagi, saya tidak tahulah apa ukuran kejayaannya dari kaca mata pihak pembangkang.

“Adakah tidak berjaya hanya kerana tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman dan Putera Mahkota atau ada hujah lain yang lebih substantif?,” soal beliau.

Ujarnya, dalam hal ini, Perdana Menteri telah menjelaskan sebabnya dan sebenarnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungannya dipanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.

“Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

Advertisements

“Namun, Perdana Menteri terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan kabinetnya ada majlis berbuka puasa dengan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China Xi Jinping dan Li Qiang.

“Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah melibatkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa Perdana Menteri kita yang bekerja kuat untuk negara,” katanya.

Selain itu, katanya, pembangkang juga mengkritik Perdana Menteri kerana tidak membawa bersama menteri agama.

“Kunjungan ini adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan, bukannya urusan agama. Jadi apa masalahnya?

“Pembangkang juga mendakwa Raja Salman dan Putera Mahkotanya tidak suka PM kita. Faktanya ialah mereka adalah antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

“Pada 25 November, Raja Salman dalam perutusan tahniahnya menzahirkan agar rakyat Malaysia terus maju jaya serta makmur. Putera Mahkota pula menzahirkan agar rakyat Malaysia terus sejahtera di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baharu.

“Jadi, apa masalahnya dengan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi setelah tidak dapat berjumpa dengan pemimpin mereka?

“Masalahnya ialah pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan Perdana Menteri dan bermain politik,”katanya.

Ujarnya, bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci.

“Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia dan Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar.

“Pada tahun 2022, Arab Saudi merupakan destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM45.52 bilion (USD10.26 bilion). Itu belum mengambil kira lagi keperluan kuota haji yang kita perlu dari Arab Saudi setiap tahun.

“Jika tidak berpuas hati juga dengan hasil lawatan dan kos lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi, tanya beliau sendiri di parlimen. Setiap Selasa beliau sedia menjawab.

“Jangan pula tidak datang masa itu. Dari situlah, baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini,”sindir Mohammad Agus. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan