26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Apa tidak kena?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail selesai mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada 22 hingga 24 Mac lalu.

Namun timbul cakap-cakap bahawa lawatan Anwar yang turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak berhasil, bahkan dianggap ‘agak pelik’.

Ini kerana, Anwar bersama rombongan dilihat tidak mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu, Raja Salman Abdulaziz atau Perdana Menteri, Mohammed Salman sepertimana dimaklum dalam siaran media Wisma Putra sebelumnya.

Siaran media yang dikeluarkan Kementerian Luar itu menyebut lawatan Perdana Menteri ke negara itu “atas jemputan YAM Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.”

Siaran media bertarikh 22 Mac itu juga menyebut Perdana Menteri dijadual mengadap ke atas Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Anwar Ibrahim dilapor gagal mengadap Raja Salman ketika lawatan rasminya ke Arab Saudi baru-baru ini. – Foto FB Anwar Ibrahim

Bagaimanapun, sepanjang lawatan tersebut tiada laporan baik bergambar mahupun rakaman video yang menunjukkan Anwar mengadakan kunjungan ke atas Mohammed mahupun Raja Salman sepertimana dimaklum oleh Wisma Putra.

Inilah isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang dengan membandingkan lawatan sama dibuat oleh pemimpin mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Lalu, apa sudah jadi sebetulnya? Apakah benar ini merupakan lawatan hasil jemputan daripada kerajaan Arab Saudi atau hanya sekadar kunjungan Perdana Menteri ke Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadah umrah?

Sebetulnya hubungan kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia amat akrab terutama ketika pentadbiran negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kemuncaknya ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Hubungan akrab itu disepadukan lagi apabila kedua-dua pemimpin saling kunjung mengunjung dan kemuncaknya apabila Arab Saudi bersetuju melabur sebanyak RM31 bilion bagi projek penapisan minyak di Pengerang, Johor pada 2017.

Bagi mengesahkan hubungan akrab tersebut, Malaysia telah bersetuju menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya di atas tanah seluas 16 hektar.

Advertisements

Bagaimanapun, hubungan Riyard dan Putrajaya mula dingin pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad telah membatalkan operasi KSCIP pada 2018.

Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan ketika itu berkata, fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah kementeriannya.

Sejak itu, Raja Salman seolah-olah ‘merajuk’ dengan Malaysia dan ini dibuktikan apabila baginda dilaporkan enggan menerima mengadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika mengunjungi Riyard pada Mac 2021.

Muhyiddin yang sepatutnya mengadap Raja Salman dilapor hanya bertemu dengan Putera Mahkotanya, Mohammed yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Muhyiddin Yassin juga dilapor gagal mengadap Raja Salman ketika mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Mac 2021. – Sumber: Facebook

Justeru, jika benar Anwar yang baharu mengadakan lawatannya ke Arab Saudi tidak bertemu Raja Salman, apakah bermakna baginda masih ‘merajuk’ dengan kerajaan Malaysia pasca-Najib Razak?

Ini diperkukuh lagi dengan kenyataan Anwar pada hari terakhir lawatannya bahawa Malaysia terbuka untuk mengadakan perbincangan semula berhubung pembinaan KSCIP yang sebelum ini dihentikan.

Bahkan Anwar berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan kaedah penutupan operasi pusat berkenaan sebelum ini yang dibuat tanpa rundingan dengan kerajaan Arab Saudi.

Lalu jika pembangkang memainkan isu kerajaan gagal kerana Anwar gagal mengadap Raja Salman, sebetulnya situasi sama turut dilalui oleh Muhyiddin sebelum ini.

Ini semua adalah gara-gara tindakan kerajaan Dr Mahathir yang tergesa-gesa membatalkan KSCIP tanpa persetujuan bersama dengan Arab Saudi, khususnya Raja Salman sendiri hanya kerana projek itu ‘hasil usaha Najib’.

Bagaimanapun, berjaya atau tidak mengadap Raja Salman bukanlah penanda aras kejayaan sesuatu lawatan rasmi kerajaan tetapi dari segi adab berkunjung ia agak kekok apabila tetamu tidak disambut oleh tuan rumah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PAPTI rangka pelbagai program sambut jubli emas tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program  bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan. Presiden...

Lagi Artikel Berkaitan