32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

KJ ingatkan UMNO, cerita ‘Bossku’ belum tamat

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

BEKAS Ketua Pemuda UMNO yang dipecat, Khairy Jamaluddin mengingatkan bahawa pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak masih kuat dalam parti itu dan gelanggang politiknya masih belum tamat meskipun kini dipenjarakan.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai KJ berpandangan sedemikian melihat kebanyakan yang mengganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terdiri daripada penyokong kuat bekas Presiden UMNO ketujuh itu.

Penyokong Najib di kalangan MT UMNO yang dirujuk KJ adalah Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil yang merupakan bekas pegawai khas Najib serta Datuk Johan Abdul Aziz iaitu calon UMNO bagi Parlimen Hulu Langat yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Kata KJ, gelombang ‘Bossku’ yang membawa fenomena kerjaya politik Najib semula selepas tewas pada PRU-14 lalu masih kuat dalam menentukan masa depan parti malah mengatasi kedudukan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Datuk Ahmad Zahid memang kuat, tetapi kalau kita tengok dengan teliti dan sebagai contoh, barisan baharu dalam MT saya nampak ramai mereka sebenarnya kalangan penyokong tegar Bossku, Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi jangan pandang ringan dengan ‘suara dari penjara’. Suara dari penjara itu menetukan masa depan parti. Saya rasa pendengar (podcast) ingin tahu tentang perancangan Bossku, tetapi yang boleh saya katakan, ia belum selesai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

KJ juga mengambil contoh mantan Ahli Parlimen Pekan itu masih popular walaupun kini berada di tirai besi apabila ramai berterima kasih kepadanya di media sosial apabila laluan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dilancarkan operasinya pada 16 Mac lalu yang diusahakan Najib pembinaanya bermula tahun 2014 ketika menjadi perdana menteri.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini bercita-cita besar untuk mencabar jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini, namun dia dipecat daripada parti pada 28 Januari lalu.

KJ juga hilang jawatan sebagai Ahli Parlimen selepas dia gagal merampas kerusi Parlimen Sungai Buluh dalam PRU-15 setelah melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau kini menjadi penyampai radio secara sambilan selain sebagai salah seorang pengarah kelab bola sepak JDT FC. – EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan