ENAM produk kosmetik tidak dibenarkan dijual di pasaran kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hudroquinone, betamethasone 17-valerate dan tretinoin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk itu termasuk Flashhskinzz Moist Suncreen, Serene Treatement Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin, Karisma Preventing Day Cream, SL Two Kunyit dan SL Two Sarang Burung.
Katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan enam produk kosmetik berkenaan.
“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak dingini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak dingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.
“Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk dengan serta-merta.
“Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – Edisi 9